Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pilihan Raya AS: Joe Biden jangka beliau akan menang dengan majoriti jelas

Associated Press mengunjurkan bahawa Encik Biden mendahului saingan dengan 264 berbalas 214 undi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan Raya AS: Joe Biden jangka beliau akan menang dengan majoriti jelas

Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. (Gambar: AP/Carolyn Kaster)

Diterbitkan : 07 Nov 2020 02:19PM Dikemas Kini : 07 Nov 2020 02:23PM

WASHINGTON: Calon Democrat, Joe Biden, pada Jumaat (6 Nov) berkata bahawa beliau menjangkakan akan meraih lebih 300 undi badan perwakilan pemilih sekaligus memenangi Pilihan Raya Presiden dengan jumlah "majoriti jelas".

"Jumlahnya menunjukkan kepada kami..ia adalah kisah yang jelas dan meyakinkan: Kami akan menang pilihan raya ini," kata beliau dalam ucapan kepada seluruh negara.

Calon Democrat itu juga berikrar bahawa pengiraan undi akan tetap diteruskan sedang beliau mendahului saingan di beberapa negeri yang sengit dan dijangka akan menang dalam pilihan raya ini.

Associated Press mengunjurkan bahawa Encik Biden mendahului saingan dengan 264 berbalas 214 undi.

"Undi anda akan dikira. Saya tidak peduli sejauh mana ada pihak yang cuba untuk menghentikannya. Saya tidak akan membiarkannya berlaku," tegas Encik Biden, sambil menambah beliau akan cuba menjadi jambatan bagi mengatasi perpecahan negara itu dan menangani isu-isu utama seperti pandemik COVID-19.

Menurut Encik Biden beliau sudah pun bersedia untuk mengambil tempat di Rumah Putih meskipun beliau belum diisytihar sebagai pemenang.

"Saya mahu semua orang tahu bahawa kami tidak menantikan untuk menjalankan tugas" kata beliau.

Encik Biden juga berkata beliau dan rakan gandingannya Kamala Harris, sudah mengadakan taklimat-taklimat pada minggu ini mengenai ekonomi dan virus korona sedang Amerika terus melaporkan jumlah rekod harian bagi kes jangkitan COVID-19.

Hampir 24,000 orang meninggal dunia akibat pandemik tersebut, kata Encik Biden yang berusia 77 tahun, sambil menambah bahawa beliau mahu keluarga-keluarga yang terjejas tahu bahawa mereka tidak bersendirian.

Beliau juga bercakap mengenai jutaan rakyat Amerika yang masih kehilangan pekerjaan dan berdepan kesukaran melunaskan hutang rumah atau membeli makanan.

"Kita tidak boleh membuang masa lagi berbalah atas dasar berpihak kepada mana-mana parti," kata beliau.

Ucapan Encik Biden pada awalnya dirancang untuk meraikan kemenangan. Namun beliau mengubah pendekatannya kerana masih belum ada lagi pengumuman rasmi daripada mana-mana rangkaian penyiaran televisyen ataupun pihak-pihak yang meramalkan kemenangan pilihan raya.

Sungguhpun demikian, ucapannya itu masih boleh dianggap sebagai cabaran kepada Encik Trump, yang tidak muncul di Rumah Putih sedang Encik Biden meluaskan lagi jurang untuk mendahuluinya di empat negeri yang akan menjadi penentu keputusan: Pennsylvania, Georgia, Arizona dan Nevada.

Encik Biden kini mendahului Encik Trump dengan sebanyak 4.1 juta undi daripada jumlah rekod 147 juta undi. Beliau berkata, rakyat Amerika telah memberikan beliau mandat untuk menangani pandemik COVID-19, kelembapan ekonomi, perubahan iklim dan perkauman sistemik.

"Mereka menunjukkan dengan jelas bahawa mereka mahu negara bersatu, bukan berpecah-belah," kata Encik Biden.

Encik Biden berkata beliau berharap untuk berucap kepada seluruh negara sekali lagi pada Sabtu. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan