Skip to main content

Dunia

Pilih kereta api cepat atau biasa jika ingin ke Jakarta, Bandung? Ini baik buruknya

Anggaran Waktu Membaca:
Pilih kereta api cepat atau biasa jika ingin ke Jakarta, Bandung? Ini baik buruknya

(Gambar: AFP/Timur Matahari)

Diterbitkan : 08 Sep 2023 12:28AM Dikemas Kini : 08 Sep 2023 12:30AM


JAKARTA: Operasi Kereta Api Cepat Jakarta-Bandung (KCJB) akan bermula tidak lama lagi.

Projek kereta api yang dibiayai China dan APBN Indonesia akan dirasmikan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo pada 1 Oktober 2023.

Syarikat PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) menyatakan para penumpang hanya memerlukan 30 minit dari Stesen Halim Jakarta Timur ke Padalarang di Kabupaten Bandung Barat.


Pemerintah Indonesia menegaskan meskipun KCJB disediakan, perkhidmatan kereta api biasa antara Jakarta ke Bandung, ataupun Kereta Api (KA) Argo Parahyangan, tidak akan dihentikan.

Kedua-dua perkhidmatan akan beroperasi dengan saling melengkapi, lapor Kompas.

KA Argo Parahyangan adalah pesaing sengit bagi KCJB untuk mendapatkan penumpang dari Jakarta ke Bandung, serta ke arah sebaliknya.

Inilah kelebihan dan kekurangan menggunakan dua jenis perkhidmatan kereta api tersebut.

1. STESEN TERAKHIR DAN KEBERANGKATAN

Salah satu daya tarikan menggunakan kereta api biasa adalah ia boleh berhenti di stesen-stesen besar yang biasanya terletak di pusat bandar.

KA Argo Parahyangan yang berangkat dari Stesen Gambir Jakarta Pusat berakhir di Kecamatan Andir, betul-betul di tengah bandar Bandung. Kedua-dua stesen tersebut beruntung kerana berada di pusat bandar dengan akses yang sangat mudah.

Ia menguntungkan para penumpang yang ingin ke Kota Bandung.

Sebaliknya, penumpang KCJB harus menukar kereta api setelah berhenti di Padalarang.

2. WAKTU PERJALANAN

Waktu perjalanan KCJB ke Padalarang mengambil masa 30 minit, manakala perjalanan ke Tegalluar mengambil masa 45 minit.

Kereta api yang digunakan KCJB adalah model baharu CR400AF hasil penambahbaikan jenis CRH380A oleh anak syarikat milik China, CRRC Qingdao Sifang, dengan kelajuan 350 kilometer (km) sejam.

Namun, dengan jarak antara Bandung dengan Jakarta yang terlalu pendek, iaitu 140 km, tempoh kelajuan maksimumnya tidak begitu efektif, lebih-lebih lagi apabila kereta api harus berhenti di Stesen Karawang.

Bagi penumpang KCJB yang menuju ke Kota Bandung dan Cimahi, waktu perjalanannya sudah tentu ditambah kerana stesennya terletak di Padalarang.

KCIC menyatakan waktu perjalanan menggunakan Kereta Api perantaraan dari Padalarang ke Stesen Bandung mengambil masa 20 minit. Waktu keseluruhan yang diperlukan untuk penumpang KCJB adalah 50 minit dari Halim ke Kota Bandung, seperti dinukil laporan Kompas.

Walau bagaimanpun, ia belum mengambil kira waktu diperlukan bagi penumpang untuk berjalan kaki ketika menukar kereta api di Padalarang dan platform perlepasan kereta api perantaraan.

Jika anda menggunakan khidmat KA Argo Parahyangan, ia akan mengambil masa tiga jam 15 minit dari Gambir ke Stesen Bandung. Walaupun anda menggunakan Kereta Api Argo Parahyangan Excellence, ia akan mengambil masa dua jam 40 minit.

Para penumpang Argo Parahyangan duduk selesa tanpa menukar perkhidmatan kereta api di dua stesen yang berbeza.

3. HARGA TIKET

Disebabkan kereta api berkelajuan tinggi, harga tiket KCJB sudah tentu lebih mahal dibandingkan dengan kelas ekonomi dan kelas perniagaan Argo Parahyangan.

KCIC menyatakan ia akan dibahagikan kepada tiga kelas, iaitu kelas VIP, kelas 1 dan kelas 2.

Ia menambah bahawa harga tiket adalah dalam lingkungan Rp 250.000 (S$22) hingga Rp 350.000 (S$31).

Sementara itu, harga tiket kereta api Argo Parahyangan ditetapkan berdasarkan kelas. Tiket Paling murah adalah Rp 150,000 (S$13) untuk kelas ekonomi dan kelas perniagaan berharga Rp 200,000 (S$18).

Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita