Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pilih kerajaan stabil, elak parlimen gantung, kata Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
BERA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyeru pengundi yang melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini untuk memilih kerajaan stabil bagi mengelakkan situasi ‘hung parliament’, iaitu keadaan yang menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

Katanya Barisan Nasional (BN) mampu membentuk kerajaan dengan melepasi majoriti mudah yang diperlukan, bersama dengan rakan parti di Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah pada PRU15.

Beliau berkata sebarang kerjasama dengan parti lain di Semenanjung dalam pembentukan kerajaan perlu dibincangkan dan diputuskan oleh kepimpinan parti selepas PRU15 berakhir.

"Sasaran kita ialah boleh melepasi majoriti mudah dengan lebih 112 kerusi (Parlimen) dengan bantuan rakan-rakan BN di Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan sendiri,” kata penyandang kerusi Parlimen Bera itu ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong pada Sabtu (19 Nov).

Ditanya mengenai keyakinan BN membentuk kerajaan malam ini selepas keputusan pilihan raya diumumkan, Encik Ismail Sabri berkata: "Saya harap begitulah (bentuk kerajaan), kalau kita dah melepasi sasaran 112 kerusi (Parlimen) dengan rakan Sabah dan Sarawak, kita tak perlu lagi untuk tunggu."

Encik Ismail Sabri turut mengucapkan takziah kepada keluarga serta seluruh pimpinan Perikatan Nasional (PN) atas pemergian calon mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan