Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pil Pfizer COVID-19 digunakan di Korea Selatan untuk tangani Omicron

Anggaran Waktu Membaca:
Pil Pfizer COVID-19 digunakan di Korea Selatan untuk tangani Omicron

Keadaan di Pasar Namdaemun di Seoul pada 2 November 2021. (Gambar: Anthony Wallace/AFP)

Diterbitkan : 13 Jan 2022 09:20PM Dikemas Kini : 13 Jan 2022 09:20PM

KOREA SELATAN: Korea Selatan akan mula merawat pesakit-pesakit koronavirus dengan pil antivirus Pfizer esok (14 Jan), menurut para pegawai kesihatan, sedang kebimbangan memuncak berhubung penularan varian Omicron yang mudah berjangkit.

Sekurang-kurangnya 21,000 pil Paxlovid tersebut tiba hari ini (13 Jan) untuk diedarkan kepada kira-kira 280 farmasi dan 90 pusat rawatan kejiranan, menurut Agensi Korea bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KDCA). 

"Memandangkan Omicron lebih senang berjangkit, ubat-ubatan juga harus memainkan peranan yang penting dalam mengawal jumlah pesakit yang akan mendapat simptom-simptom yang kritikal walaupun variannya kurang serius," kata pegawai KDCA Kim Ki-Nam semasa satu taklimat. 

Ubat-ubatan itu akan digunakan untuk merawat lebih 1,000 orang sehari, dan para pesakit yang berisiko tinggi yang menghidap penyakit teruk, mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas dan mereka yang mempunyai daya imun yang lemah, menurut KDCA lagi. 

Lagi 10,000 pil tersebut dijangka tiba hujung bulan ini. 

Pil Paxlovid hampir 90 peratus berkesan mencegah rawatan di hospital dan kadar kematian dan data juga menunjukkan bahawa ia mengekalkan keberkesanannya terhadap Omicron, kata Pfizer. 

Korea Selatan sudah memeriksa peralatan-peralatan tambahan farmaseutikal untuk menangani lonjakan kes jangkitan akibat varian Omicron dan meluluskan penggunaan vaksin Novavax pada Rabu (11 Jan). 

Sejak pandemik bermula, negara dengan 52 juta penduduk itu adalah antara yang berjaya menangani koronavirus, dengan 679,030 kes secara keseluruhan dan 6,210 kematian, kebanyakkannya dicapai melalui pemakaian pelitup dan penjarakan sosial. 

KDCA melaporkan satu lagi rekod bagi kes-kes import COVID-19 pada Rabu (12 Jan), iaitu 391, antara 4,167 kes jangkitan yang dikesan hari itu. 

Jumlah penduduk Korea Selatan yang diuji positif selepas menghadiri pameran perniagaan elektronik di Las Vegas minggu lalu, meningkat kepada 119, termasuk beberapa kes-kes Omicron, menurut seorang pegawai KDCA. 

Varian Omicron merangkumi peratusan kecil daripada jumlah kes yang dikesan. Namun, jumlah itu meningkat lebih dua kali ganda kepada sekitar 12.5 peratus dalam tempoh dua minggu lalu. 

Para pegawai kesihatan sudah memberi amaran bahawa Omicron boleh menjadi dominan bulan ini, seperti di Amerika Syarikat dan kebanyakan Eropah, dan jumlah kes seharian boleh melambung kepada 20,000, jumlah yang tidak pernah berlaku sebelum ini, pada bulan akan datang. 

Pemerintah akan memutuskan pada Jumaat (14 Jan) sama ada ia akan melanjutkan peraturan jarak sosial. Perintah tersebut dikuatkuasakan semula pada pertengahan Disember apabila jumlah kes seharian mencecah rekod baru, hampir 8,000. 

Hampir 90 peratus penduduk dewasa negara itu sudah lengkap divaksin dan 55 peratus sudah pun menerima suntikan dos penggalak setakat Rabu (12 Jan), menurut data KDCA.

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa