Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pil COVID-19 Merck tunjuk keberkesanan lebih rendah dalam data dikemas kini

Syarikat Merck menyatakan pada Jumaat (26 Nov), data yang dikemas kini daripada kajiannya mengenai pil COVID-19 menunjukkan ubat itu kurang berkesan dalam mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian berbanding yang dilaporkan sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pil COVID-19 Merck tunjuk keberkesanan lebih rendah dalam data dikemas kini

Kapsul ubat antivirus, Molnupiravir. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Nov 2021 11:37PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 11:40PM

REUTERS: Syarikat Merck menyatakan pada Jumaat (26 Nov), data yang dikemas kini daripada kajiannya mengenai pil COVID-19 menunjukkan ubat itu kurang berkesan dalam mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian berbanding yang dilaporkan sebelum ini.

Pengeluar ubat itu menyatakan pil tersebut menunjukkan pengurangan 30 peratus dalam kemasukan ke hospital dan kematian, berdasarkan data daripada lebih 1,400 pesakit. Pada bulan Oktober, datanya menunjukkan keberkesanan kira-kira 50 peratus berdasarkan data daripada 775 pesakit.

Saham Merck jatuh 2.8 peratus kepada AS$80 (S$109), di tengah-tengah kejatuhan dalam pasaran yang lebih luas.

Kelulusan bagi penggunaan ubat molnupiravir Merck dan pil yang dibangunkan pesaingnya dari Pfizer Inc diharapkan dapat mengubah cara rawatan COVID-19 kerana ia boleh diambil awal bagi rawatan di rumah untuk membantu mencegah kemasukan ke hospital dan kematian.

Data daripada pil Pfizer, menyusuli analisis kajian yang melibatkan 1,200 peserta, menunjukkan pengurangan risiko kemasukan ke hospital atau kematian sebanyak 89 peratus berkaitan koronavirus berbanding plasebo.

Merck memfailkan permohonan bagi kelulusan rasmi molnupiravir di Amerika Syarikat pada 11 Okt, berikutan data sementara tersebut.

Syarikat itu pada Jumaat menyatakan data mengenai molnupiravir, yang dibangunkan dengan Ridgeback Biotherapeutics, telah diserahkan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS sebelum mesyuarat penasihat pakarnya pada Selasa.

Cabang kajian molnupiravir mempunyai kadar kemasukan ke hospital dan kematian sebanyak 6.8 peratus, menurut data yang dikemas kini. Kumpulan plasebo mempunyai kadar kemasukan ke hospital dan kematian sebanyak 9.7 peratus.

Seorang pesakit dalam kumpulan molnupiravir meninggal dunia, berbanding sembilan dalam kumpulan plasebo.

Analisis sementara data yang dirancang bulan lepas menunjukkan 7.3 peratus daripada mereka yang diberi molnupiravir dua kali sehari selama lima hari dimasukkan ke hospital dan tiada seorang pun yang meninggal dunia dalam tempoh 29 hari selepas rawatan. Ini, berbanding 14.1 peratus bagi pesakit yang menggunakan plasebo.

Sumber : Reuters/SU/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa