Skip to main content

Dunia

Pihak pendakwa bantah permohonan Najib periksa barangan disita atas faktor keselamatan

Permohonan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan keluarganya untuk membuat pemeriksaan fizikal terhadap barangan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibantah oleh pihak pendakwaan atas faktor keselamatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak pendakwa bantah permohonan Najib periksa barangan disita atas faktor keselamatan

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di mahkamah pada 11 Nov 2019 (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 31 Jan 2020 05:58PM Dikemas Kini : 31 Jan 2020 06:03PM

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan keluarganya untuk membuat pemeriksaan fizikal terhadap barangan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibantah oleh pihak pendakwaan atas faktor keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof berkata kesemua barangan yang disita itu ditempatkan di dalam bilik kebal rahsia di Bank Negara Malaysia (BNM) yang hanya boleh diakses oleh pegawai bank tertentu.

Beliau yang merujuk kepada afidavit sokongan oleh pegawai penyiasat Supt Foo Wei Min berkata bagi memelihara kerahsiaan dan keselamatan bilik kebal pemeriksaan tidak harus dibenarkan di tempat itu.

“Jika pemeriksaan dibenarkan ia perlu dibuat di lokasi lain dan memandangkan kebanyakan item yang disita bernilai tinggi, pemindahan akan menyebabkan kemerosotan nilai. Memandangkan banyak item untuk diperiksa akan ramai individu yang mempunyai akses kepada item itu dan bila lebih ramai individu boleh akses lebih mudah item terjejas dengan cara lain.

“Selain itu, tiada spesifik undang-undang tentang perkara ini (permohonan pemeriksaan fizikal) dan oleh kerana kes ini merupakan 'test case', kami tidak mahu ia menjadi ikutan untuk kes-kes AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) yang lain,” katanya.

Cik Fatnin berkata sebagai alternatif, pihak pendakwaan bersedia memberi gambar yang lebih jelas dan membuat rakaman video terhadap setiap item untuk diberikan kepada pihak Encik Najib, isterinya Cik Rosmah Mansor dan anak mereka Cik Nooryana Najwa Mohd Najib.

Peguam Encik Najib, Encik Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa adalah kritikal bagi anak guam dan ahli keluarganya untuk memeriksa barangan yang dirampas oleh SPRM bagi mengenal pasti sama ada mereka menerimanya sebagai hadiah atau diperoleh untuk diri sendiri.

“Keselamatan fizikal adalah perlu kerana polis tidak menyediakan satu senarai cari selepas barangan berharga itu dirampas. Kami mempunyai hak untuk perbicaraan yang adil,” katanya.

Peguam Iskandar Shah Ibrahim yang mewakili Cik Rosmah dan Cik Nooryana Najwa pula berkata pihaknya mengguna pakai hujahan Muhammad Shafee.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan Isnin (3 Feb) untuk keputusan.

Pada 18 Julai tahun lepas, Encik Najib, 67 tahun, memfailkan notis usul bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita SPRM pada 17 Mei, 2018, termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing kepada Encik Najib serta keluarganya.

Encik Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas, telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Cik Rosmah, 69 tahun, dan Cik Nooryana Najwa, 32 tahun, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta alih yang disita itu.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama, serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya membabitkan wang tunai RM537,000 (S$179,000), 2,700 Pound Sterling (S$4,830), 2,870,000 Rupee Sri Lanka (S$21,560), RM187,750 wang lama Ringgit Malaysia (S$62,520) dan 320,500 Pound Sterling (S$573,561).

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita