Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pihak pembelaan tidak akan panggil Najib sebagai saksi kes rasuah Rosmah

Pihak pembelaan Rosmah Mansor, dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar di Sarawak, memutuskan untuk tidak memanggil suaminya, bekas Perdana Menteri Najib Razak, untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga.

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak pembelaan tidak akan panggil Najib sebagai saksi kes rasuah Rosmah

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak dan isteri beliau, Rosmah Mansor. (Gambar: Reuters)

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan Rosmah Mansor, dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar di Sarawak, memutuskan untuk tidak memanggil suaminya, bekas Perdana Menteri Najib Razak, untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga.

Peguam Jagjit Singh memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan tidak akan memanggil Najib, yang dijadual memberikan keterangan, hari ini (9 Jan).

“Selepas perbincangan pada Sabtu (8 Jan) hingga lewat petang Ahad (9 Jan), pihak pembelaan memilih untuk tidak memanggil Datuk Seri Najib sebagai saksi pembelaan ketiga.

“Kami juga sedang menganalisis soal balas (Rosmah) oleh pihak pendakwaan dan kami percaya keterangan daripada saksi ketiga (Najib) hanya bersifat menyokong dan sifat menyokong telahpun dibuktikan oleh pihak pembelaan.

"Atas alasan ini, kami perlu menyusun semula strategi dan kami membuat keputusan untuk tidak memanggil Datuk Seri Najib. Saya memohon maaf kepada Yang Arif. Saya tahu Yang Arif mementingkan masa mahkamah, saya menerima tanggungjawab atas perkara ini," kata Encik Jagjit.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram berkata keputusan untuk memanggil atau tidak memanggil saksi terserah kepada pihak pembelaan.

“Terpulang kepada pembelaan untuk membuat keputusan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata beliau menghargai permohonan maaf daripada pihak pembelaan.

Encik Jagjit kemudian memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini dan minggu ini kerana saksi pembelaan kedua, yang juga bekas pegawai khas Najib, Siti Azizah Sheikh Abod, kini sedang menunaikan ibadah umrah di Makkah dan hanya boleh memberi keterangan pada 4 Februari.

Hakim kemudian menangguhkan perbicaraan ke 4 Februari. 

Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta (S$60.4 juta) dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta (S$2.09 juta) daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor, sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah itu bernilai RM1.25 bilion (S$403 juta) secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan