Skip to main content

Dunia

Pihak peguam bela usul batal pertuduhan Najib Razak bagi kes SRC

Pihak pembelaan yang mewakili mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memfailkan notis usul supaya tujuh pertuduhan yang dihadapi Encik Najib dibatalkan atas alasan ia cacat.

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak peguam bela usul batal pertuduhan Najib Razak bagi kes SRC

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 09 Apr 2019 03:40PM Dikemas Kini : 09 Apr 2019 03:43PM

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan yang mewakili mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memfailkan notis usul supaya tujuh pertuduhan yang dihadapi Encik Najib dibatalkan atas alasan ia cacat.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed berkata pihaknya sudah menerima notis usul berserta afidavit berhubung perkara itu pagi tadi (9 Apr).

“Pihak pendakwaan akan memfailkan afidavit balasan pada 15 April dan pembelaan akan menjawab pada 19 April. Kedua-dua pihak juga perlu memfailkan hujahan masing-masing pada 22 April,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som.

Encik Budiman Lutfi bagaimanapun berkata tarikh pendengaran bagi notis usul itu belum ditetapkan lagi, berkemungkinan antara 22 dan 26 April ini.

Pada prosiding hari ini, Encik Najib diwakili peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Dalam notis usul yang difailkan pada 3 April lepas, Encik Najib memohon supaya tujuh pertuduhan terhadapnya digantung atau dibatalkan atas alasan pertuduhan itu adalah satu daripada penyalahgunaan proses mahkamah dan cacat dari segi bentuk dan isi pertuduhan.

Pada 3 April lepas, pada hari pertama perbicaraan kes itu, peguam Encik Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pihak pembelaan mahu memfailkan notis usul supaya tujuh pertuduhan terhadap Encik Najib dibatalkan atas alasan ia cacat.

Encik Najib, 66 tahun, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram atas dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$13.9 juta).

Perbicaraan kes itu akan bersambung 15 April ini.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita