Pihak berkuasa Malaysia buka 88 kertas siasatan berhubung aduan penipuan pakej umrah
Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 88 kertas siasatan berkaitan aduan penipuan pakej umrah baru-baru ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

(Gambar: BERNAMA)
Menurutnya pada 22 Disember tahun lalu, sekumpulan pengguna yang mendakwa menjadi mangsa penipuan umrah, membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan KPDN di Putrajaya dan beberapa negeri lain.
Encik Armizan berkata aduan itu melibatkan kesalahan syarikat umrah tidak mematuhi keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang menetapkan wang yang perlu dibayar syarikat kepada mangsa terlibat.
“Sebahagian siasatan telah lengkap dan setakat ini, sebuah syarikat yang berpangkalan di Putrajaya telah menerima notis untuk pendakwaan yang akan berlangsung Selasa depan. Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar Tenom hari ini (7 Jan).
Encik Armizan berkata isu penipuan umrah dalam bidang kuasa KPDN ialah terkait kepada aspek kepenggunaan, sementara aspek pelesenan, elemen jenayah dan lain-lain adalah di bawah bidang kuasa kementerian serta agensi lain.
“Mengambil kira isu dan kes melibatkan penipuan umrah semakin banyak, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPDN untuk mengadakan perbincangan segera melalui sebuah jawatankuasa yang melibatkan agensi berkaitan.
“Usaha ini penting untuk penyelarasan dan mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan untuk memastikan perlindungan yang lebih holistik kepada para pengguna dalam pengurusan umrah dan haji,” katanya.
Beliau berkata usaha itu termasuk mengkaji keperluan untuk menambah baik kerangka perundangan sedia ada untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.