Pihak berkuasa Indonesia sahkan penemuan bangkai feri
Pihak berkuasa Indonesia sudah mengesan bangkai feri KMP Tunu Pratama Jaya yang karam pada 2 Julai di Selat Bali berhampiran Ketapang di Banyuwangi, Jawa Timur, menurut pegawai.
Kedudukan bangkai feri disahkan secara rasmi pada 12 Julai 2025. (Gambar: Facebook/Tentera Laut/TNI AL)
Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi berkata rancangan sedang disusun untuk mengapungkan semula feri itu yang ditemui kira-kira 3.9 kilometer dari lokasi terakhir ia dikesan.
“Operasi pengapungan akan dilaksanakan mengikut prosedur ketat bagi memastikan keselamatan pasukan memandangkan arus bawah laut yang kuat. Kami berharap operasi ini berjalan lancar bagi menyokong siasatan,” kata Encik Dudy dalam satu kenyataan.
Kedudukan feri itu disahkan secara rasmi pada Sabtu (12 Jul) apabila pasukan penyelam yang menggunakan peralatan diubah suai berjaya merakam gambar jelas bangkai feri yang terbalik pada percubaan ketiga mereka, termasuk nama kapal, badan dan pintu laluan, menurut laporan Perkhidmatan Maklumat Tentera Laut.
Penemuan itu adalah hasil operasi mencari yang bermula pada 9 Julai, melibatkan Tentera Laut dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), selepas kapal peninjau hidro-oseanografi KRI Spica-934 mengesan objek bawah air pada kedalaman 50 meter.
Imbasan susulan mengesahkan objek berkenaan sepadan dengan dimensi feri, namun cubaan pada 11 Julai untuk melakukan pemeriksaan menggunakan kenderaan kawalan jauh gagal akibat arus kuat, menurut laporan itu.
Setakat Isnin, iaitu hari terakhir operasi SAR bersama melibatkan Basarnas, tentera, polis dan masyarakat nelayan tempatan, pasukan berjaya menemukan 48 orang. 30 daripada mereka terselamat dan 18 lagi disahkan maut, dengan seorang daripadanya merupakan warga Malaysia.
Feri yang membawa 12 anak kapal, 53 penumpang dan 22 kenderaan itu berlepas dari Pelabuhan Ketapang ke Pelabuhan Gilimanuk di Bali pada 2 Julai sebelum menghantar isyarat kecemasan pada pukul 11.20 malam dan karam 15 minit kemudian.
Usaha mencari akan diteruskan oleh Basarnas dan pihak berkuasa wilayah bermula Selasa, memandangkan masih ada penumpang — termasuk yang tidak disenaraikan — dilaporkan masih hilang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.