Pihak berkuasa Bangladesh khuatir berdepan penularan penyakit bawaan air, sedang banjir mula surut
(Gambar: Mamun Hossain/AFP)
BANGLADESH: Di Bangladesh, banjir mula surut, namun timbul pula kebimbangan kemungkinan berlaku wabak penyakit.
Pihak berkuasanya kini bersiap sedia untuk menangani penularan penyakit bawaan air.
PBB sudahpun memberi amaran jutaan penduduk Bangladesh sukar mendapat bekalan air bersih.
Lebih 4,000 mangsa banjir di Bangladesh sudahpun menghidap penyakit bawaan air seperti cirit-birit, demam dan jangkitan kulit.
Para pegawai kesihatan berkata, keutamaan mereka adalah untuk memastikan terdapat cukup bekalan air minum untuk para mangsa.
Lantaran itu, lebih 2,000 pasukan penyelamat dikerah untuk menghantarkan air minum dan keperluan lain kepada para mangsa banjir.
Banjir paling dahsyat dalam masa 100 tahun di Bangladesh itu meragut nyawa hampir 70 orang.
Sekurang-kurangnya 4.5 juta penduduk pula terkandas dan kehilangan tempat tinggal.
Para pakar memberi amaran walaupun paras air sungai-sungai di bahagian timur laut Bangladesh semakin surut, paras air sungai di bahagian tengah dan timur negara itu pula mungkin naik dalam masa beberapa hari akan datang.
Bangladesh dianggap sebagai salah sebuah negara paling berisiko terhadap kesan perubahan iklim.
Sekitar 3.5 juta penduduknya mengalami banjir setiap tahun.
Di wilayah-wilayah timur laut India pula usaha menyelamat dan membantu mangsa--mangsa banjir di pergiat.
Lebih 250,000 mangsa banjir kini berteduh di hampir 1,000 kem perlindungan yang disediakan.
Menurut para saintis, sebilangan wilayah India menerima jumlah hujan sehingga tiga kali lebih tinggi pada tiga minggu pertama bulan ini berbanding jumlah puratanya bagi bulan Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.