Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pihak berkuasa Afghanistan alami kesukaran untuk sampai ke zon gempa

Pihak berkuasa Afghanistan hari ini (23 Jun) mengalami kesukaran untuk sampai ke kawasan terpencil yang dilanda gempa, yang menyebabkan 1,000 orang terkorban.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak berkuasa Afghanistan alami kesukaran untuk sampai ke zon gempa

Kawasan gempa di wilayah Paktika di timur Afghanistan pada 22 Jun 2022. (Gambar: AP/Bakhtar News Agency)

Diterbitkan : 23 Jun 2022 05:16PM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 05:16PM
GAYAN, Afghanistan: Pihak berkuasa Afghanistan hari ini (23 Jun) mengalami kesukaran untuk sampai ke kawasan terpencil yang dilanda gempa, yang menyebabkan 1,000 orang terkorban.

Tambahan lagi, komunikasi yang lemah dan kekurangan jalan raya yang baik menghambat usaha-usaha mereka, menurut pihak berkuasa.

Gempa sekuat 6.1 magnitud pada awal pagi Rabu (22 Jun) menggegarkan sekitar 160 kilometer dari Kabul, di kawasan pergunungan, di mana terletaknya sebilangan penempatan kecil berhampiran sempadan Pakistan.

"Kami tidak boleh sampai kawasan itu, rangkaiannya terlalu lemah, kami (sedang) mencuba mendapatkan kemas kini," kata Mohammad Ismail Muawiyah, seorang jurucakap bagi komander tertinggi tentera Taliban di wilayah Paktika, yang paling teruk terjejas.

Gempa tersebut meragut sekitar 1,000 nyawa dan menyebabkan 1,500 orang cedera, jelasnya. Lebih 3,000 rumah turut musnah.

Sekitar 600 orang sudahpun diselamatkan daripada pelbagai kawasan terjejas pada Rabu malam, menurutnya.

Bandar Gayan, yang berhampiran pusat gempa, mengalami kerosakan besar dengan kebanyakan bangunan yang bertembokkan lumpur terjejas atau roboh sepenuhnya, dedah pasukan Reuters.

Bandar itu sibuk dengan tentera Taliban dan ambulans sedang helikopter yang membawa bekalan bantuan mendarat berhampiran kawasan tersebut.

Sekitar 300 orang pula duduk sambil menantikan bekalan.

Operasi menyelamat akan menjadi ujian besar bagi pihak berkuasa Taliban, yang mengambil alih negara itu Ogos lalu selepas dua dekad berperang dan terputus daripada bantuan antarabangsa disebabkan sekatan-sekatan.

Kementerian pertahanan yang dipimpin Taliban sedang menerajui usaha-usaha menyelamat.

Media Afghanistan menerbitkan gambar-gambar rumah yang runtuh dan mayat-mayat yang diselubungi selimut beberapa jam selepas gempa melanda.

Maklumat tepat agak terhad daripada kampung-kampung di kawasan pergunungan yang terpencil.

Sebahagian besar Asia Selatan aktif secara seismik disebabkan plat tektonik yang dikenali sebagi plat India sedang menolak ke arah utara, masuk ke arah plat Eurasia.

Pada 2015, gempa menggegar bahagian timur laut Afghanistan yang terpencil, sekali gus menyebabkan beberapa ratus orang terbunuh di Afghanistan dan utara Pakistan yang berhampiran.
Sumber : Reuters/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa