Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PICKids ditawarkan secara sukarela; tiada sekatan terhadap kanak-kanak tidak divaksin, tegas Khairy

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) akan dilakukan secara sukarela dan tiada sekatan akan dikenakan terhadap kanak-kanak tidak divaksin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara itu bagi membina keyakinan ibu bapa kerana pihaknya menyedari masih terdapat ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum mendaftar bagi PICKids.

"Setakat tempahan janji temu dibuka semalam, 15 peratus sudah mendaftar. PICKids adalah secara sukarela, untuk memberi masa kepada ibu bapa membuat keputusan yang tepat.

"Saya tahu ramai ibu bapa masih bimbang. Tapi tidak mengapa, kita akan terus berikan maklumat terkini kepada mereka," kata beliau.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah hari ini (3 Feb).

Khairy berkata program PICKids untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun adalah penting bagi mengelakkan kumpulan itu daripada komplikasi Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C) yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kesan jangka panjang COVID-19 dan kematian.

Beliau berkata sejak 1 Januari tahun ini, sebanyak 9,413 kes COVID-19 direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun yang tidak dilindungi vaksin.

Khairy juga memberi jaminan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memberikan vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) untuk PICKids dan keputusan dibuat setelah meneliti data klinikal dan data nyata daripada negara-negara lain seperti Singapura.

“Sebenarnya pihak Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan di Amerika Syarikat sudahpun luluskan vaksin untuk kanak-kanak Oktober lepas, namun pakar kita ambil masa untuk buat kajian terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data, didapati pemberian vaksin iaitu satu pertiga daripada dos dewasa, kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun tidak menyebabkan kesan serius, sebaliknya kesan biasa seperti demam.

Menyifatkan PICKids sebagai pelengkap akhir kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, beliau berkata KKM menyasarkan pemberian satu dos kepada 70 peratus kanak-kanak di sekolah (usia tujuh hingga 11 tahun) dan 50 peratus untuk keseluruhan 3.6 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

PICKids dilaksanakan serentak di seluruh Malaysia hari ini untuk kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi dan daya tahan imuniti yang rendah di hospital yang merawat mereka.

Selain itu, 1,200 kanak-kanak juga akan menerima vakinasi melalui tempahan janji temu di tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Mega di Lembah Klang iaitu World Trade Centre (WTC) dan Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Khairy berkata PICKids akan diteruskan ke seluruh negara menerusi klinik kesihatan dan sekolah tidak lama lagi.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan