Skip to main content

Dunia

PIALA DUNIA FIFA 2026: Toronto batal festival penyokong dek risiko cuaca buruk

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Toronto batal festival penyokong dek risiko cuaca buruk

Penyokong Piala Dunia di Toronto, 10 Jun 2026. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 12 Jun 2026 10:35AM Dikemas Kini : 15 Jun 2026 02:53PM
TORONTO: Para peminat yang menghadiri festival penyokong Piala Dunia di Toronto berdepan kekecewaan pada Khamis (11 Jun) selepas pihak penganjur membatalkan acara tersebut akibat cuaca buruk, sehari sebelum perlawanan pertama Kanada berlangsung.

"Sebagai langkah keselamatan yang amat ketat, Festival Penyokong FIFA Toronto sedang dikosongkan berikutan risiko panahan petir," menurut pihak penganjur di media sosial.

Gangguan disebabkan faktor cuaca itu - yang terbaharu menjejaskan kejohanan tersebut - berlaku ketika para peminat sedang menyaksikan perlawanan pembukaan antara Mexico menentang Afrika Selatan melalui skrin besar.

Pakar sains sukan menyatakan terdapat risiko jelas berkaitan cuaca yang dihadapi bagi penganjuran Piala Dunia musim panas di Kanada, Mexico, dan Amerika Syarikat. Ramalan cuaca bermusim menunjukkan suhu yang lebih tinggi daripada biasa di sebahagian besar kawasan di Amerika Syarikat, manakala kelembapan yang beralih ke utara dari Teluk Mexico boleh mencetuskan ribut petir dan cuaca buruk sepanjang minggu-minggu awal kejohanan tersebut.

Para peminat mula menggunakan media sosial untuk mempersoalkan tahap kesediaan bandar raya itu bagi menganjurkan kejohanan tersebut, selepas Toronto sebelum ini turut dikritik kerana tidak menawarkan tiket percuma.

Pihak pentadbiran bandar raya itu kemudian mengubah keputusan mereka dan mengeluarkan beberapa tiket percuma pada bulan Mei, yang habis terjual dalam tempoh beberapa jam sahaja. Festival tersebut, yang dijadualkan merangkumi siaran langsung perlawanan, jualan makanan, dan hiburan, akan berlangsung sehingga 19 Julai.

Toronto, salah satu daripada 16 bandar yang menganjurkan perlawanan bagi Piala Dunia yang menampilkan 48 pasukan ini, akan mengendalikan enam perlawanan, bermula dengan aksi Kanada menentang Bosnia dan Herzegovina pada Jumaat.

Ikuti liputan penuh Piala Dunia FIFA 2026 termasuk keputusan, jadual perlawanan dan sedutan video dalam laman mikro khas kami.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita