Skip to main content

Dunia

PIALA DUNIA FIFA 2026: Amerika tidak bantah Iran sertai kejohanan; larang individu berkait IRGC

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio berkata pada Khamis (23 Apr) bahawa Washington tidak membantah pemain Iran beraksi dalam Piala Dunia FIFA 2026.

Anggaran Waktu Membaca:
PIALA DUNIA FIFA 2026: Amerika tidak bantah Iran sertai kejohanan; larang individu berkait IRGC

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio, bersebelahan Presiden Donald Trump, bercakap kepada media di Pejabat Oval di Rumah Putih di Washington DC, Amerika Syarikat pada 23 April 2026. (Gambar: Reuters/Kylie Cooper)

Diterbitkan : 24 Apr 2026 10:29AM Dikemas Kini : 28 Apr 2026 11:44PM
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio berkata pada Khamis (23 Apr) bahawa Washington tidak membantah pemain Iran beraksi dalam Piala Dunia FIFA 2026.

Namun beliau menambah, pemain tidak dibenarkan membawa masuk individu yang mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran.

"Tiada sesiapa pun dari Amerika Syarikat yang memberitahu mereka bahawa mereka tidak boleh datang," kata Encik Rubio kepada wartawan.

Presiden Donald Trump juga berkata pentadbirannya "tidak mahu menjejas atlet" dalam komennya di Rumah Putih.

Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 dijadual bermula pada 11 Jun di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Paolo Zampolli, seorang utusan Encik Trump yang tidak mempunyai kaitan rasmi dengan Piala Dunia, sebelum ini mencadangkan supaya Itali menggantikan Iran di temasya sukan itu.

"Masalahnya dengan Iran bukanlah atlet mereka. Ia adalah sesetengah individu yang mereka ingin membawa bersama, ada yang mempunyai hubungan dengan IRGC. Kami tidak boleh membenarkan mereka masuk, kecuali para atlet tersebut," kata Encik Rubio.

"Mereka tidak boleh membawa sekumpulan pengganas IRGC ke negara kami dan kononnya katakan bahawa mereka adalah wartawan dan pelatih atlet," kata Encik Rubio.

Washington sudah pun menetapkan IRGC sebagai sebuah "pertubuhan pengganas asing".

Buat masa ini, tiada cadangan yang menunjukkan Iran akan berundur atau dilarang daripada menyertai perlawanan di mana Itali gagal melayakkan diri.

Selepas perang dengan Iran bermula, Iran mencadangkan supaya FIFA memindahkan tiga perlawanan berkumpulan pasukan itu dari Amerika Syarikat ke Mexico, namun permohonan itu ditolak.

Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu. Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap Israel dan pangkalan udara Amerika Syarikat di negara-negara Teluk.

Serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran dan serangan Israel di Lubnan membunuh beribu-ribu orang dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal.

Gencatan senjata rapuh dalam perang Iran pula bermula lebih dua minggu lalu.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita