Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Phuket tarik lebih 130,000 pelancong di tengah pandemik sejak mulakan program 'sandbox'

Suku juta pelawat memasuki Thailand meski di tengah pandemik, sekitar 90% dari negara barat.

Anggaran Waktu Membaca:

PHUKET: Kehadiran pengunjung yang ramai di sepanjang Pantai Patong di Phuket hari ini (19 Dis) memberi petunjuk bahawa pulau peranginan popular itu kini kembali meriah.

Malah, restoran dan bar di pulau peranginan itu juga semakin menerima jumlah pelanggan yang ramai sejak program "Phuket Sandbox" dilancarkan pada 1 Julai bagi membolehkan kemasukan pelancong.

Sehingga kini, program "Phuket Sandbox" sudah menerima 130,368 pengembara. Mulai 1 Nov tahun ini, Thailand membuka lagi pintunya kepada pelawat lengkap divaksin dari 63 negara dan wilayah melalui skim kemasukan bebas kuarantin atau Test & Go, dan dari seluruh dunia di bawah skim "Living in the Blue Zone" atau dikenali sebagai program "“Sandbox Destinations”.

Sehingga 16 Dis lebih 255,000 pelawat telah memasuki Thailand, jumlah yang sangat kecil jika dibanding seramai 40 juta yang tiba di negara ini sebelum pandemik COVID-19 pada 2019. Menurut penganalisis angka pra-pandemik hanya boleh dicapai pada 2024 atau 2025.

Untuk menarik lebih ramai pelancong terutamanya pelancong jarak dekat, pada 8 Dis, Thai Airways International (THAI) melancarkan penerbangan terus - Sydney-Phuket-Sydney - dalam usaha untuk mengembangkan pasaran Australia ke Phuket dan destinasi-destinasi lain.

Timbalan Gabenor Pemasaran Antarabangsa (Asia dan Pasifik Selatan), Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Tanes Petsuwan berkata ia adalah usaha berterusan Thailand untuk menarik pelancong global, terutamanya pengembara jarak dekat selepas negara itu membuka semula pintunya kepada pengembara antarabangsa lengkap vaksin dari 63 negara.

Sejak pelancaran skim “Phuket Sandbox” dan “Test & Go”, kira-kira 90 peratus pengembara yang memasuki kerajaan itu adalah dari pasaran perjalanan jarak jauh termasuk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat dan Eropah.

Beliau berkata pelancong jarak dekat terhad berikutan sekatan perjalanan dan kuarantin yang ketat.

"Kami sangat gembira untuk membuka pasaran perjalanan jarak dekat dan mengalu-alukan penerbangan terus dari Sydney," katanya kepada Bernama.

Thai Airways International (THAI) akan terbang tiga kali seminggu untuk penerbangan terus antara Sydney dan Phuket, dengan penerbangan sulung tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket pada 8 Dis.

Sementara itu, Thailand telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membantu sektor pelancongannya mengharungi krisis COVID-19.

Tanes berkata Thailand dan Singapura memulakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), membolehkan pengembara melakukan perjalanan tanpa kuarantin ke Singapura, mulai 14 Dis.

“Dengan VTL, pelancong dari Thailand tidak perlu menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari di Singapura. Kini, pengembara boleh mengembara dan menikmati perjalanan tanpa kuarantin,” katanya.

Selain itu, Encik Tanes berkata TAT akan menumpukan kepada segmen pasaran pelancongan memandangkan negara dunia kini dibahagikan kepada "COVID sifar" dan “hidup bersama COVID".

“TAT akan menumpukan kepada segmen pasaran sasaran dalam mewujudkan strategi pemasaran pelancongan yang berkesan,” katanya.

Ketiadaan pelancong China, yang menyumbang 28 peratus daripada jumlah ketibaan pelawat dan pelancong pada 2019, akan menimbulkan risiko penurunan untuk pemulihan pelancongan.

Beliau berkata Bangkok mendahului senarai teratas dunia untuk ‘workations’, menurut Holidu, laman web pelancongan berpangkalan di UK.

Selain itu, dua bandar lain di Thailand juga telah merampas tempat 10 teratas - Chiang Mai dan Phuket.

"Kami akan membangunkan pelan pemasaran pelancongan untuk menarik pelancong yang bekerja," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan