Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Phuket bergelut dengan krisis sampah menimbun

Anggaran Waktu Membaca:
Phuket bergelut dengan krisis sampah menimbun

Gambar hiasan: iStock

Diterbitkan : 16 Jan 2025 04:45PM Dikemas Kini : 16 Jan 2025 05:02PM
PHUKET: Botol-botol plastik dan tin kosong minuman arak dilihat di dalam laut di perairan sekitar Phuket di selatan Thailand, sedang lebih banyak sampah bertimbun di pulau itu, yang merupakan destinasi ramai pelancong yang dikenali dengan pantainya yang indah dan detik matahari terbenam yang menawan.

Di satu sudut pulau itu, lori-lori dan traktor berulang alik bagi memindahkan timbunan sampah di tempat pembuangan sampah, iaitu destinasi terkahir bagi lebih 1,000 tan sisa yang dikumpulkan di Phuket setiap hari.

Dalam hanya beberapa bulan sahaja, tempat pembuangan sampah itu sudah menjadi semakin meluas sehingga ia menghadang pemandangan indah gunung sebelum ini dari rumah Cik Vassana Toyou.

"Tiada kehidupan di luar rumah, (kami) hanya duduk di rumah," kata beliau. "Baunya sangat kuat, anda perlu pakai pelitup."

Untuk bertahan dengan bau itu, Cik Vassana berkata beliau menghidupkan alat penghawa dingin dan pembersih udara sepanjang masa, sekaligus menyebabkan bil elektrik rumahnya naik seganda.

Phuket, iaitu pulau paling besar Thailand, sudah menjalani pembangunan pesat disebabkan sektor pelancongannya, yang merupakan pemacu utama ekonomi Thailand secara keseluruhannya.

Daripada 35.5 juta ketibaan warga asing ke negara itu pada 2024, sekitar 13 juta melawat pulau tersebut.

"Pembangunan bandar (Phuket) terlalu pesat daripada kadar yang sepatutnya," kata Suppachoke Laongphet, timbalan datuk bandar bagi perbandaran utama pulau, menjelaskan bagaimana pelancongan dan pembinaan melonjakkan jumlah sampah melebihi paras sebelum COVID.

Menjelang hujung tahun, pulau itu mungkin menghasilkan sehingga 1,400 tan sampah sehari, membebankan satu-satunya tempat pembuangan sampah di sana, kata beliau.

Pihak berkuasa sedang mempergiat perancangan untuk mengurangkan penjanaan sisa sebanyak 15 peratus dalam masa enam bulan, meluaskan tempat pembuangan sampah dan membina loji membakar sampah baharu, ujar beliau, sedang pulau itu berusaha untuk menjadi destinasi pelancong yang lebih mampan.

Namun, meningkatkan kapasiti dan loji membakar sampah hanyalah sebahagian huraiannya, menurut para pakar.

"Jika anda terus menerus meluaskan loji pembakaran sampah, saya tidak rasa ia akan menjadi huraian," kata Panate Manomaivibool, seorang penolong profesor dalam bidang pengurusan sisa di Universiti Burapha.

"Mereka perlu fokus kepada pengurangan dan pengasingan sisa."
Sumber : Reuters/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan