PH tidak tolak kemungkinan bincang kerjasama PRN Melaka
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail tidak menolak kemungkinan akan bertemu Ketua Menteri Melaka Abdul Rauf Yusoh bagi membincangkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). (Gambar: Bernama)
- Saifuddin Nasution Ismail dari Pakatan Harapan tidak menolak kemungkinan bertemu Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, untuk membincangkan kerjasama Pilihan Raya Negeri.
- Perbincangan dijangka berlangsung selepas Ab Rauf pulang dari lawatan kerja di New Zealand, dengan hubungan antara kedua-dua pihak sentiasa terjalin.
- Pengerusi Barisan Nasional, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan BN masih terbuka untuk rundingan pengagihan kerusi PRN Melaka, dengan syarat kerusi dimenangi parti dihormati.
- Fahmi Fadzil dari PH menegaskan keterbukaan ini penting demi kestabilan politik dan masa depan Melaka serta kepentingan negara.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang kini melaksanakan tugas-tugas Timbalan Presiden parti berkenaan berkata perbincangan itu berkemungkinan diadakan selepas Encik Ab Rauf pulang ke tanah air daripada lawatan kerja di New Zealand.
“Kalau ke Melaka saya mesti singgah rumah dia, makan asam pedas Mak Leha dengan dia. Jadi kami sentiasa berhubung.
“Dalam berhubung itu kami bincang pelbagai perkara. Oleh kerana Melaka sudah dekat pilihan raya, kemungkinan kita akan membuka tajuk itu," katanya selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (MCMC) pada Khamis (20 Ogos).
Pada 8 Ogos, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu masih membuka ruang perundingan berhubung pengagihan kerusi bagi PRN Melaka termasuk pertukaran kawasan, asalkan ia dibuat dengan jujur dan ikhlas.
Beliau berkata prinsip asas perundingan itu menetapkan kerusi yang sudah dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.
Menyusuli pengumuman itu, Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata keterbukaan tersebut wajar disantuni demi masa depan serta kestabilan politik Melaka, selain kepentingannya terhadap negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.