PH tidak gentar gabungan PAS, UMNO
Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) tidak gentar melihat gabungan PAS dengan UMNO kerana ia memberi banyak isu dan peluang untuk mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan menjadi wajib bagi mereka.
Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) tidak gentar melihat gabungan PAS dengan UMNO kerana ia memberi banyak isu dan peluang untuk mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan menjadi wajib bagi mereka.
Perdana Menteri itu berkata gabungan itu agak menarik kerana asas perpecahan dan penubuhan PAS dahulu belum selesai.
“Ulama UMNO keluar UMNO untuk menubuh PAS kononnya kerana Islam. Lagipun semasa kepimpinan UMNO yang lepas, salah satu sebab penggabungan bahkan kerjasama UMNO dan PAS tidak berlaku adalah kerana PAS mengkafirkan UMNO,” katanya menerusi satu catatan blog pada Rabu (6 Mac).
Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH berkata, antara faktor lain PAS juga sebelum ini tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana UMNO mengamalkan perlembagaan yang dituduh sekular dan kafir.
“PAS tidak pernah menarik balik 'fatwa' tersebut. Sudahkah PAS Islamkan UMNO?,” soal Dr Mahathir.
“Ini adalah di antara asas ‘Amanat Haji Hadi’ yang membawa kepada sembahyang dua imam; tidak mahu makan sembelihan orang UMNO, jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang PAS jika sebelumnya disembahyangkan oleh orang UMNO, mengharamkan anak mengahwini anak orang UMNO, mengharamkan isteri mengundi UMNO dan jika dilakukan akan gugur talak dan bermacam-macam lagi,” katanya.
TINDAKAN SAMA SEPERTI ANGGAP NAJIB TIDAK BERSALAH?
Dr Mahathir turut mempersoalkan, sama ada kesemua larangan dan amalan-amalan itu ditarik balik atau diarah untuk dihentikan.
(Gambar: BERNAMA)
“Apakah orang UMNO terima bahawa mereka dengan PAS kelainan agama tetapi perbezaan ini diterima kedua-dua pihak,” soalnya.
Beliau berkata melihat kepada perkembangan sekarang, kerjasama antara UMNO dan PAS lebih ke arah untuk mengembalikan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai pemimpin dan 'menghalalkan' semua jenayah yang didakwa terhadapnya.
“Adakah PAS sudah anggap Najib yang sedang menghadapi tuduhan-tuduhan rasuah dan salah guna kuasa tidak bersalah.
“Apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah, salah guna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan? Apakah ini adalah pembohongan yang wajib?
PAS SENGAJA SEKONGKOL?
“Betul Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan oleh Mahkamah belum dapat diadakan. Akan terimakah Najib sebagai pemimpin PAS jika ia didapati bersalah,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, jika anggota dan pemimpin PAS arif akan apa yang berlaku di dunia, mengapa mereka masih bersedia bersekongkol bersama UMNO dan Encik Najib.
“Tidak sedarkah mereka bahawa ramai ahli UMNO sudah meninggalkan UMNO kerana sudah terjadi kleptokrasi dan bukan demokrasi.
“Mereka juga pasti sedar bagaimana beberapa buah bank terkenal dunia ditutup dan pegawai-pegawai mereka didakwa dan dipenjara kerana pembabitan dalam skandal 1MDB,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir selanjutnya berkata, PAS perlu sedar nilai yang diterap apabila bekerjasama dengan Encik Najib dan UMNO di waktu ini iaitu Encik Najib menggelar dirinya dan digelar oleh pengikutnya sebagai ‘Boss’ yang tidak perlu berasa malu.
MAHATHIR PERTIKAI 'BOSSKU'
“Bos bermakna ‘Tuan Hamba’. Apakah PAS juga bersedia untuk jadi hamba kepada seorang yang dipercayai mencuri? Sudah gugurkah PAS perasaan malu apabila menerima Najib sebagai “boss”,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir turut menceritakan beberapa orang pemimpin PAS datang berjumpa beliau dan menyerah satu dokumen akan menyokongnya sebagai Perdana Menteri.
“Pemimpin PAS kata tidak akan berkempen sokong BN di Semenyih. Tetapi pada hari penamaan calon ramai pemimpin PAS hadir bersama pemimpin BN. Inikah janji PAS?,” tanya Dr Mahathir.
Pada Selasa (5 Apr), UMNO dan PAS mengumumkan kerjasama secara rasmi yang akan menumpukan perhatian kepada aspek penyatuan ummah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.