PH sokong Dr Mahathir, tiada isu undi tidak percaya - Azmin
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali berkata tiada isu undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad kerana Pakatan Harapan (PH) menyokong beliau sebagai perdana menteri negara itu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali berkata tiada isu undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad kerana Pakatan Harapan (PH) menyokong beliau sebagai perdana menteri negara itu.
"Tidak timbul isu undi tidak percaya. Hari ini kita Pakatan Harapan telah menekankan untuk memberi sokongan yang kuat dan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya ketika menjawab pertanyaan tambahan Annuar Musa semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini (12 Mac).
Encik Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), turut menegaskan tidak wujud masalah menteri gagal menjalankan tugas kerana mereka bekerja secara kolektif bagi membentuk dasar yang lebih responsif kepada rakyat.
"Dalam jemaah menteri kabinet, kita bincang secara bersama dan muafakat kerana muafakat itulah yang telah membawa kejayaan," katanya.
Beliau berkata selain itu, kerajaan juga menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di luar kerajaan bagi mendapatkan pandangan para pakar dan tokoh akademik.
Encik Mohamed Azmin berkata kerajaan juga berusaha mendengar pandangan, khususnya daripada golongan swasta dan akademik, agar pembentukan sesuatu dasar dapat dibuat secara seimbang.
"Kita buat kerja secara kolektif, secara bersama. Kita mengambil sikap yang inklusif, kita ambil sikap pandangan semua dalam membentuk satu dasar yang lebih responsif kepada masalah rakyat. Kita (kerajaan) bukan eksklusif macam UMNO dan Barisan Nasional," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.