Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PH selesai agih hampir semua kerusi bagi PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
PH selesai agih hampir semua kerusi bagi PRU15

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 03 Oct 2022 07:21AM Dikemas Kini : 03 Oct 2022 07:24AM
GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) sudah menyelesaikan pembahagian bagi hampir semua kerusi dalam kalangan parti komponennya untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata ketika itu, semua negeri sudahpun menyelesaikan pembahagian kerusi, kecuali Kedah dan Sabah yang masih berunding membabitkan dua atau tiga kerusi sahaja, dan keputusan rundingan tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden PH pada Rabu (5 Okt).

"Kita yakin dapat selesaikan menjelang Rabu ini (Mesyuarat Majlis Presiden PH). Untuk kerusi Parlimen, PKR, Amanah dan DAP bakal mendapat tambahan kerusi di PRU-15 yang mana 52 kerusi di Semenanjung yang dulunya ditandingi Bersatu semasa PRU14, akan dibahagikan kepada semua parti dalam PH."

"Bagi Sarawak, tidak menjadi isu sangat sebab Bersatu tidak bertanding di situ pilihan raya lepas...jadi tidak banyak beza dari segi agihan. Cuma di Sabah, kita kena berunding dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang sebelum ini, parti itu bukan dalam PH. Itu makan masa sikit," katanya kepada wartawan selepas sesi Town Hall pada Ahad (2 Okt).

Sementara itu, Encik Rafizi, yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR, berkata bahawa beliau berhasrat bertanding di kerusi Parlimen Pandan semasa PRU15 nanti dan sudah menyuarakannya kepada pucuk pimpinan parti yang belum memuktamadkan senarai calon.

"Saya sudah menyatakan dengan jelas saya mahu mempertahankan (kerusi Parlimen) Pandan, sedang menunggu keputusan parti. Ini kerana saya boleh berkempen dengan lebih berkesan di peringkat nasional untuk calon PKR, jika saya bertanding di Pandan, di mana kami mempunyai sokongan sangat baik dan cukup mantap," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata di PRU14, beliau memberi laluan kepada Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pada ketika itu ialah Presiden PKR, kerana kerusi Parlimen Pandan antara kerusi PKR yang paling baik.

"Kita bersetuju presiden parti ambil alih kalau tidak, kerusi itu jadi rebutan (pada PRU14). Wan Azizah sangat serba boleh dan beliau sudah pun buktikan (semasa PRU14). Cuma untuk saya, contohnya, oleh kerana kempen (PRU15) di seluruh Malaysia, jadi memang lebih logik saya bertanding di Pandan kerana itu pangkalan saya dan itu bagi saya ruang berkempen di banyak kerusi di seluruh Malaysia," katanya.

Encik Rafizi memenangi kerusi Pandan pada 2013 ketika beliau pertama kali bertanding untuk kerusi Parlimen, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Lim Chin Yee dengan majoriti 26,729 undi.

Beliau tidak mempertahankan kerusi itu semasa PRU14 selepas tidak layak bertanding kerana proses rayuan yang masih berjalan membabitkan hukuman 30 bulan penjara yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada Februari 2018, selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan milik National Feedlot Corporation (NFC) dan Pengerusinya, Dr Mohamad Salleh Ismail.

Semasa PRU14, Dr Wan Azizah yang mewakili PKR di kerusi itu menang besar 52,543 undi majoriti menewaskan calon BN Leong Kok Wee.

Pada November 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Encik Rafizi kerana pihak pendakwaan gagal mengemukakan dokumen asli seperti diperuntukkan dalam Seksyen 65(1)(c) Akta Keterangan 1950.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan