Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PH Sabah tidak setuju Dewan Undangan Negeri dibubar

Anggaran Waktu Membaca:
PH Sabah tidak setuju Dewan Undangan Negeri dibubar

Bangunan Sri Kinabalu yang menempatkan pejabat Ketua Menteri Sabah menjadi perhatian rakyat Sabah menyusuli ketidaktentuan politik di negeri berkenaan ketika ini. (Gambar: Bernama)

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah pada Sabtu (7 Jan) menyatakan pendirian tidak bersetuju Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan menyusuli ketidaktentuan politik di negeri berkenaan ketika ini.

Dalam kenyataan bersama pada Sabtu (7 Jan), kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH berkenaan menegaskan sekiranya kemelut itu tidak ditangani segera, ia akan menyaksikan kedudukan DUN tergantung.

“Sehubungan itu, kami ingin memaklumkan bahawa tujuh ADUN daripada PH Sabah memberi sokongan kepada Ketua Menteri sedia ada Hajiji Noor, yang merupakan ADUN Sulaman."

“Ini adalah selari dengan prinsip kami untuk memastikan kestabilan politik terus mantap di Sabah dan tidak terlibat dalam langkah seperti Langkah Sheraton,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi PH Sabah Christina Liew yang juga ADUN Api-Api, Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon (Tanjung Papat), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

Selain itu, kesemua ADUN berkenaan yang menzahirkan rasa kesal dengan kemelut yang berlaku berkata, seharusnya fokus utama negeri adalah memastikan matlamat perjuangan membantu rakyat dan membangunkan ekonomi, serta memastikan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) direalisasikan selaras dengan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa kami tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara pintu belakang,” menurut kenyataan itu.

Kesemua ADUN PH berkenaan juga mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil model sama seperti yang dilakukan Kerajaan Persekutuan dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di Sabah, sekiranya berlaku DUN tergantung.

Pada Jumaat (6 Jan), Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri pada sidang media, mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Encik Hajiji, selepas hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dilanggar.
Encik Bung Moktar berkata BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun Encik Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Dengan tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), serta UMNO dan BN Sabah menarik sokongan malam tadi, Kerajaan Sabah diterajui Encik Hajiji hanya mempunyai sokongan 38 ADUN iaitu 29 daripada GRS, PH (tujuh),dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan