Skip to main content

Dunia

PH, MUDA jalin kerjasama politik hadapi PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
PH, MUDA jalin kerjasama politik hadapi PRU15

Gambar fail Anwar Ibrahim.

Diterbitkan : 13 Oct 2022 07:05AM
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan kerjasama politik dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat PKR, pada Rabu (12 Okt), lapor Astro Awani.

Tambah Encik Anwar lagi, permohonan MUDA untuk memasuki gabungan PH secara rasmi mungkin tidak sempat diproses kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU15 dijangka tidak lama lagi.

“Seperti mana diumumkan, ia akan diteruskan dan ada jawatankuasa sedang berunding untuk meletakkan beberapa perkara bagi persefahaman bersama dan begitu juga berbincang seterusnya. Kalau dipersetujui, tentang kerusi dan logo... dan kita tiada halangan,” katanya ketika ditemui wartawan, lapor Astro Awani.

Mengulas mengenai keputusan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di bawah pentadbiran PH, iaitu Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan, Encik Anwar berkata bahawa tempoh masa diberikan untuk kepimpinan negeri memperhalusi isu tersebut dan kembali membawa pandangan ke peringkat Majlis Presiden.

“Kami masih terikat dengan keputusan Majlis Presiden PH. Tetapi perkara itu perlu dibincangkan semula secara terperinci bersama pucuk pimpinan parti masing-masing,” katanya.

Encik Anwar menambah bahawa kepimpinan pusat akan memberikan tempoh yang secukupnya kepada kepimpinan negeri bagi melihat keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15.

“Dalam hal-hal besar, sama ada pimpinan parti berbincang dulu dan bawa ke Majlis Presiden atau Majlis Presiden beri kerangka dasar utama, garis besar untuk dibawa ke kepimpinan parti masing-masing.

"Sebab ini melibatkan PKR dan DAP di Pulau Pinang, jadi akan bincang. Setakat ni masih terikat dengan keputusan lalu,” Astro Awani menukil kata-katanya lanjut.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita