Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PH masih pembangkang di Johor; jalin hubungan baik dengan BN, kata Pengerusi PH Johor

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) masih berperanan sebagai pembangkang di Johor berikutan tiada lagi perbincangan berhubung bentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di negeri tersebut setakat ini.

Pengerusi PH Johor Salahuddin Ayub bagaimanapun berkata hubungan antara kedua-dua parti itu sangat baik atas semangat perpaduan.

"Setakat ini, ketika saya meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa Menteri Besar (Hafiz Ghazi) membuat penggulungan Belanjawan 2023 pada Persidangan DUN Johor (Disember tahun lepas), kami masih duduk di barisan pembangkang.

"Belum ada apa-apa keputusan di Johor, tetapi antara kami semua faham bahawa semangat perpaduan kerajaan sangat mendasari. Hubungan juga sangat baik, cuma kita tidak dapat tentukan lagi bentuk kerjasama pada masa akan datang,” katanya kepada para pemberita selepas Jamuan Kenduri Rakyat Petugas Parlimen Pulai di Johor Bahru pada Sabtu malam (7 Jan). 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hubungan dan bentuk kerjasama PH dan BN di Johor.

Pada Pilihan Raya (PRN) Johor yang diadakan pada Mac tahun lalu, BN meraih kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. 

Pada PRN itu, PH memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (tiga), selain Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi.

Sementara itu merujuk kepada kaukus melibatkan 24 Ahli Parlimen BN dan PH Johor, Encik Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menjelaskan bahawa perkara itu masih dalam perbincangan.

“Mengenai kaukus, masih dalam perbincangan dan Ketua Pembangkang Andrew Chen Kah Eng (yang menggantikan Liew Chin Tong) sedang mengusahakannya,” katanya.

Pada 4 Disember tahun lalu, dilaporkan Encik Liew yang ketika itu Ketua Pembangkang sebelum digantikan Encik Andrew ketika membahaskan Belanjawan 2023, mencadangkan kepada Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad bahawa satu Kaukus Ahli-Ahli Parlimen Johor perlu ditubuhkan melibatkan 24 Ahli Parlimen BN dan PH. 

Encik Hasni kemudian dilaporkan sebagai berkata penubuhan kaukus itu mampu memacu pembangunan Johor untuk menjadi sebuah negeri yang maju.

Pada 11 Disember lalu, Encik Onn Hafiz pula dilaporkan sebagai berharap kaukus itu akan memperjuangkan projek keutamaan rakyat negeri itu yang melibatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan