Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PH belum bincang pembahagian kerusi dengan BN bagi PRN akan datang, kata PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
PH belum bincang pembahagian kerusi dengan BN bagi PRN akan datang, kata PM Anwar

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Jan 2023 12:38PM Dikemas Kini : 24 Jan 2023 12:38PM

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) belum mengadakan perbincangan rasmi dengan Barisan Nasional (BN) berhubung pembahagian kerusi yang akan ditandingi kedua-dua gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PH berkata tiada halangan untuk pimpinan parti itu di peringkat negeri bagi mengadakan perbincangan dengan BN berhubung perkara tersebut.

"Perbincangan pembahagian kerusi dengan BN secara rasmi belum, walaupun saya tidak menghalang pimpinan di peringkat negeri mengadakan perbincangan, perbincangan secara rasmi itu belum dimulakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam pada Isnin malam (23 Jan). 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PH dan BN sudahpun mengadakan rundingan mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

Pada Sabtu (21 Jan), Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dilaporkan berkata PH sudah memulakan perbincangan bersama BN mengenai kerjasama dalam PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi tetapi ia berlangsung secara tidak rasmi.

Sementara itu, Encik Anwar berkata beliau tidak akan mencampuri urusan PAS yang mahu menentukan sendiri tarikh bersesuaian untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya PRN di tiga negeri ditadbir PAS tidak diadakan serentak dengan tiga negeri yang ditadbir PH (Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan), ia mungkin menyebabkan kos keseluruhan PRN di keenam-enam negeri berkenaan meningkat.

"Itu hak mereka masing-masing dan dia rujuk dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bukan urusan saya, cuma kos untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan itu tentunya akan jauh meningkat," katanya.

Baru-baru ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata PAS akan menentukan sendiri tarikh bersesuaian untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN di tiga negeri ditadbir parti itu.

Sumber : Bernama/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa