Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pfizer, BioNTech minta lampu hijau bagi vaksin kanak-kanak 5-11 tahun di Kanada

Vaksin Pfizer-BioNTech yang sama juga diluluskan di Kanada bagi penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.

Anggaran Waktu Membaca:
Pfizer, BioNTech minta lampu hijau bagi vaksin kanak-kanak 5-11 tahun di Kanada

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 19 Oct 2021 10:03AM Dikemas Kini : 19 Oct 2021 10:05AM

MONTREAL: Pfizer-BioNTech menyerahkan permintaan bagi mendapatkan kelulusan penguasa kesihatan Kanada, Health Canada, pada Isnin (18 Okt) bagi penggunaan vaksin COVID-19 keluaran syarikat itu ke atas kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun, menurut syarikat tersebut dan pemerintah Kanada.

"Ini adalah permintaan pertama yang diterima Health Canada bagi penggunaan vaksin COVID-19 untuk kumpulan usia ini," menurutnya dalam satu kenyataan.

Permintaan itu berdasarkan data daripada ujian-ujian yang dijalankan ke atas 2,268 kanak-kanak dalam kumpulan usia tersebut, yang jumlah dosnya dikurangkan kepada 10 mikrogram bagi setiap suntikan - tiga kali lebih rendah berbanding dos standard - yang menurut syarikat itu "adalah dos pilihan" bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Vaksin Pfizer-BioNTech yang sama juga diluluskan di Kanada bagi penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.

Health Canada menyatakan ia hanya akan meluluskan penggunaan vaksin itu jika semakan saintifik bebas dan menyeluruh ke atas semua data yang diserahkan mengesahkan bahawa manfaatnya lebih tinggi daripada risikonya dalam kalangan kumpulan usia tersebut.

Kementerian Kesihatan Kanada juga menekankan bahawa para pengeluar vaksin lain juga sedang menjalankan ujian vaksin masing-masing untuk kanak-kanak berlainan usia.

Awal bulan ini, makmal Pfizer dan BioNTech mengemukakan pemintaan yang sama bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Amerika Syarikat.

Imunisasi bagi kanak-kanak menimbulkan pelbagai tanda tanya di merata dunia. Kebanyakan negara memvaksin remaja dari usia 12 tahun. Namun tidak banyak yang memvaksin golongan usia lebih rendah.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan bahawa perkara penting adalah untuk memvaksin penduduk dari negara-negara miskin sebelum kanak-kanak dan remaja divaksin di negara-negara mewah.

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan