Skip to main content

Dunia

Pfizer, BioNTech lapor keberkesanan tinggi dos perangsang COVID-19

Pfizer dan rakan kerjanya dari Jerman BioNTech pada Khamis (21 Okt) melaporkan bahawa data dari ujian Fasa III menunjukkan tahap keberkesanan tinggi bagi dos perangsang vaksin COVID-19 keluarannya terhadap virus itu, termasuk varian Delta.

Anggaran Waktu Membaca:
Pfizer, BioNTech lapor keberkesanan tinggi dos perangsang COVID-19

Seorang penduduk mendapatkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Auckland, New Zealand, pada 19 Feb 2021. (Gambar: Reuters/Kementerian Kesihatan New Zealand)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 08:14AM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 08:15AM

BERLIN: Pfizer dan rakan kerjanya dari Jerman BioNTech pada Khamis (21 Okt) melaporkan bahawa data dari ujian Fasa III menunjukkan tahap keberkesanan tinggi bagi dos perangsang vaksin COVID-19 keluarannya terhadap virus itu, termasuk varian Delta.

Menurutnya satu ujian melibatkan 10,000 peserta berusia 16 dan ke atas menunjukkan keberkesanan 95.6 peratus terhadap penyakit itu, dalam tempoh semasa Delta menjadi varian yang lazim dikesan.

Kajian itu juga mendapati suntikan perangsang tersebut mempunyai profil keselamatan yang baik.

Pfizer sebelum ini menyatakan bahawa keberkesanan dua dos vaksin itu merosot setelah beberapa waktu, merujuk kepada satu kajian yang menunjukkan keberkesanan 84 peratus berbanding kadar tertinggi 96 peratus empat bulan selepas dos kedua. Beberapa negara sudahpun mula memberi dos perangsang.

Pengeluar ubat-ubatan itu menyatakan tempoh median antara dos kedua dan suntikan perangsang atau plasebo dalam kajian itu adalah sekitar 11 bulan, sambil menambah bahawa hanya terdapat lima kes positif COVID-19 dalam kumpulan yang menerima dos perangsang, berbanding dengan 109 kes dalam kumpulan yang menerima suntikan plasebo.

"Dapatan ini memberikan bukti lanjut mengenai manfaat dos perangsang sedang kami menyasarkan untuk melindungi orang ramai daripada penyakit ini," kata CEO Pfizer, Albert Bourla dalam satu kenyataan.

Usia median peserta adalah 53 tahun, dengan 55.5 peratus peserta antara 16 dengan 55 tahun, dan 23.3 peratus berusia 65 tahun dan ke atas.

Kedua-dua syarikat menyatakan pihaknya akan menyerahkan hasil terperinci ujian itu untuk ditinjau oleh rakan kerja industri, kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), Agensi Ubat-Ubatan Eropah, dan agensi kawal selia lain secepat mungkin.

Pengawal selia AS dan EU telah meluluskan dos ketiga vaksin COVID-19 oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk pesakit dengan sistem imun yang lebih lemah.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita