Skip to main content

Dunia

Petugas jagaan kesihatan, guru New Zealand diwajibkan divaksin

Sebahagian besar petugas jagaan kesihatan dan guru-guru di New Zealand tidak lama lagi diwajibkan untuk mendapatkan vaksin bagi melawan koronavirus, umum pemerintah New Zealand pada Isnin (11 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Petugas jagaan kesihatan, guru New Zealand diwajibkan divaksin

Seorang petugas jagaan kesihatan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 04:30PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 04:33PM

WELLINGTON: Sebahagian besar petugas jagaan kesihatan dan guru-guru di New Zealand tidak lama lagi diwajibkan untuk mendapatkan vaksin bagi melawan koronavirus, umum pemerintah New Zealand pada Isnin (11 Okt).

Mandat baru itu mewajibkan para doktor, ahli farmasi, jururawat masyarakat dan ramai lagi petugas jagaan kesihatan yang lain untuk divaksin sepenuhnya sebelum Disember.

Para guru dan pekerja sektor pendidikan mesti lengkap divaksin sebelum Januari tahun depan.

Menteri Respons COVID-19 Chris Hipkins menegaskan meskipun ramai daripada mereka sudahpun divaksin namun mereka tidak boleh berpeluk tubuh. Ini kerana golongan pekerja ini kerap berurusan dengan pesakit yang sakit dan kanak-kanak kecil yang belum lagi dibenarkan untuk mendapatkan vaksin.

"Ia bukan satu keputusan yang mudah, tetapi kita memerlukan mereka yang bekerja dengan anggota masyarakat yang belum lagi divaksin untuk mengambil langkah tambahan ini," kata Encik Hipkins.

Respons awal menunjukkan kumpulan-kumpulan yang mewakili para pekerja yang terjejas menyokong mandat tersebut.

Sebelum ini New Zealand sudahpun mewajibkan ramai pekerja yang bertugas di sempadan untuk divaksin.

Pengumuman itu dibuat sedang New Zealand berusaha sedaya upaya untuk mengawal penularan varian Delta yang amat mudah berjangkit di bandar terbesarnya, Auckland.

Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata pada Isnin (11 Okt) bahawa Auckland akan terus diletakkan di bawah perintah berkurung selama sekurang-kurangnya seminggu lagi, manakala perintah berkurung di wilayah-wilayah berdekatan seperti Waikato dan Northland mungkin akan ditarik balik jika tiada lagi penularan yang ketara di tempat-tempat tersebut.

Auckland diletakkan di bawah perintah berkurung selama hampir dua bulan sejak wabak tersebut menular. Sebanyak 35 kes baru dikesan di bandar tersebut pada Isnin (11 Okt), membawa jumlah terkumpul menjangkaui 1,600 kes.

Minggu lalu, Cik Ardern akur bahawa COVID-19 tidak mungkin dapat dihapuskan sama sekali melalui langkah-langkah termasuk perintah berkurung dan pengesanan kontak, yang sebelum ini berhasil menangani penularan virus tersebut.

Cik Ardern menggesa para penduduk negara itu supaya segera mendapatkan vaksin yang disifatkannya sebagai satu langkah penting ke arah pembukaan semula negara itu.

Sumber : AP/RB/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita