Skip to main content

Dunia

Pesawat VietJet alami masalah mendarat; beberapa penumpang cedera ringan

Sebuah penerbangan syarikat VietJet Aviation JSC mengalami kesukaran mendarat petang semalam (29 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat VietJet alami masalah mendarat; beberapa penumpang cedera ringan

Gambar fail pesawat VietJet. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 30 Nov 2018 04:31PM Dikemas Kini : 30 Nov 2018 04:35PM

HANOI: Sebuah penerbangan syarikat VietJet Aviation JSC mengalami kesukaran mendarat petang semalam (29 Nov). Ini selepas roda-roda di gear pendaratan depannya mengalami "masalah" dengan para penumpang dilaporkan cedera ringan akibat insiden itu, menurut syarikat penerbangan itu dan penguasa penerbangan Vietnam pada Jumaat (30 Nov).

Penerbangan domestik VietJet dari Bandar Ho Chi Minh ke Buon Ma Thuot yang membawa 207 penumpang mengalami "masalah serius" semasa melakukan pendaratan apabila "dua roda hadapannya mengalami masalah", menurut Penguasa Penerbangan Awam Vietnam (CAAV) dalam satu kenyataan.

"Pesawat itu berhenti dengan selamat di landasan Lapangan Terbang Buon Ma Thuot," menurut CAAV di lamannya.

Gambar-gambar jet itu di landasan yang diperolehi laman industri penerbangan, Flightglobal, menunjukkan gelongsor kecemasan diaktifkan dan tayar roda bahagian depan pesawat terlucut.

INCIDENT: 2-weeks-old VietJet Air Airbus A321neo VN-A653 has lost its nosegear tyres after landing at Buon Ma Thuot from Ho Chi Minh at 2300 tonight (1600UTC). All 207 pax deplaned via chutes. https://t.co/zsYirNu9eW pic.twitter.com/U3Yyukf14s

— Airport Webcams (@AirportWebcams) November 30, 2018

VietJet menyatakan bahawa semua penumpang berada dalam keadaan selamat, dengan sebahagiannya mengalami kecederaan ringan. Mereka dihantar ke hospital dengan segera dan sudah dibenarkan pulang. Menurut CAAV, enam penumpang cedera akibat insiden itu.

Pesawat itu merupakan jet Airbus A321 yang dihantar ke VietJet dua minggu lalu pada 15 November.

Seorang jurucakap Airbus berkata, syarikat pengilang sedang berhubung dengan syarikat penerbangan itu dan menyediakan semua bantuan teknikal yang perlu.

"Syarikat penerbangan itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menilai insiden tersebut dan menghulurkan bantuan segera kepada semua penumpang yang terjejas," menurut VietJet dalam satu kenyataan.

Pada awal bulan ini, VietJet memeterai perjanjian bernilai AS$6.5 bilion (S$8.9 bilion) untuk membeli 50 pesawat Airbus A321neo. Syarikat itu juga memeterai perjanjian dengan Boeing.   

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita