Pesawat tentera Rusia terhempas ketika jalani ujian; 3 maut
Sebuah pesawat pengangkutan ringan tentera Rusia terhempas ketika melakukan penerbangan ujian pada Selasa (17 Ogos), meragut jiwa kesemua tiga anak kapal yang menaikinya, menurut pembuat pesawat berkenaan.
Gambar oleh Jawatankuasa Penyiasat Rusia menunjukkan para anggota bomba di tapak nahas pesawat ketenteraan Ilyushin IL-112V di luar Moscow. (Gambar: Jawatankuasa Penyiasat Rusia/AFP)
MOSCOW: Sebuah pesawat pengangkutan ringan tentera Rusia terhempas ketika melakukan penerbangan ujian pada Selasa (17 Ogos), meragut jiwa kesemua tiga anak kapal yang menaikinya, menurut pembuat pesawat berkenaan.
Gambar-gambar yang disiarkan oleh stesen televisyen rasmi Rusia dan dikongsikan di media sosial menunjukkan pesawat prototaip IL-112 itu terbakar sebelum jatuh ke tanah dan meletup.
Insiden berlaku ketika pesawat berkenaan hampir melakukan pendaratan berdekatan lapangan terbang Kubinka di luar Moscow, menurut khidmat media United Aircraft Corporation (OAK).
OAK kemudian menyatakan kesemua tiga anak kapal yang berada di dalam pesawat malang itu meninggal dunia.
"Menurut maklumat dari tempat (pesawat) IL-112 terhempas, tiada yang terselamat," kumpulan itu memuatnaikkan catatan ke Twitter.
Ia menambah tidak ada mangsa nahas di darat.
Berdasarkan maklumat awal, enjin kanan pesawat itu terbakar sebelum ia terhempas, menurut OAK kepada agensi berita tempatan TASS.
Syarikat itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.
Para penyiasat Rusia berkata dalam satu kenyataan bahawa siasatan jenayah dilancarkan ke atas pelanggaran langkah-langkah keselamatan.
Ia menambah pemeriksaan ke atas tapak nahas juga sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.