Pesawat tentera Greece terhempas semasa pertunjukan udara, 2 juruterbang maut
Sebuah pesawat tentera F-4 Phantom terhempas pada Sabtu (5 Sep) di sebuah pangkalan di luar Athens semasa satu pertunjukan udara, menyebabkan kedua-dua juruterbangnya maut, lapor agensi berita Greece, ANA.
Orang ramai menyaksikan kepulan asap naik selepas sebuah jet pejuang F-4 Phantom Greece terhempas semasa pertunjukan udara "Athens Flying Week" di Tanagra, Greece, pada 5 September 2026. (Gambar: Nikos Mitrousias/Intime menerusi REUTERS)
- Sebuah pesawat tentera F-4 Phantom terhempas di pangkalan luar Athens semasa pertunjukan udara "Athens Flying Week" pada 5 September.
- Kedua-dua juruterbang maut selepas pesawat hilang altitud sejurus berlepas dan terhempas di hadapan ribuan pengunjung.
- Punca nahas masih belum diketahui, dan juruterbang tidak sempat melenting keluar dari pesawat.
- Pertunjukan udara dibatalkan, pasukan pemadam kebakaran dikerahkan, dan Menteri Pertahanan Nikos Dendias melawat lokasi kejadian.
Punca nahas tersebut masih belum diketahui, namun media tempatan melaporkan kedua-dua juruterbang tidak melenting keluar dari pesawat tersebut.
Pesawat tersebut baru sahaja berlepas apabila ia tiba-tiba kehilangan altitud sebelum terhempas, menurut seorang wartawan penyiar awam ERT yang berada di lokasi kejadian.
Satu letupan berlaku sejurus selepas pesawat tersebut terhempas di hadapan ribuan pengunjung yang sedang menyaksikan acara tahunan "Athens Flying Week".
Beberapa pesawat pemadam kebakaran dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran yang tercetus akibat nahas itu, lapor ERT.
Pertunjukan udara tersebut dibatalkan, manakala Menteri Pertahanan Nikos Dendias membatalkan lawatannya ke Pameran Antarabangsa Thessaloniki untuk mengunjungi lokasi nahas itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.