Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesawat pertama bawa kanak-kanak Palestin dari Gaza tiba di UAE untuk terima rawatan

Anggaran Waktu Membaca:
ABU DHABI: Pesawat pertama membawa seramai 15 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan keluarga mereka, tiba di Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Langkah itu sebagai sebahagian daripada inisiatif UAE dalam menyediakan rawatan perubatan untuk 1,000 kanak-kanak Palestin yang ditemani keluarga mereka dari Carikan Gaza.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), pesawat tersebut mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi dari Lapangan Terbang Antarabangsa El Arish di Mesir, membawa kanak-kanak yang paling memerlukan bantuan perubatan segera.

Ini termasuk mereka yang mengalami kecederaan parah dan melecur serta pesakit barah yang memerlukan rawatan terperinci.

Penolong Menteri bagi Hal Ehwal Luar untuk Kesihatan Maha Barakat berkata, semua hospital di UAE bersedia untuk menerima baki kanak-kanak dan keluarga mereka dalam menyediakan penjagaan komprehensif, serta perkhidmatan khusus mengikut piawaian antarabangsa.

Langkah itu bagi memastikan mereka pulih sepenuhnya sebelum kembali dengan selamat, tambahnya.

“Sejak tercetusnya krisis, UAE segera menyediakan bantuan kemanusiaan dan bekalan kecemasan ke Carikan Gaza,” katanya.

Dalam hal itu, beliau berkata Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan mengeluarkan arahan untuk memperuntukkan pakej bantuan kemanusiaan sebanyak AS$20 juta (S$27 juta), dan mengarahkan penubuhan hospital medan di Gaza sebagai sebahagian daripada operasi kemanusiaan 'Gallant Knight 3'.

Inisiatif membawa kanak-kanak dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan di UAE juga atas arahan Sheikh Mohamed.

Cik Maha berkata UAE sudah menghantar 51 pesawat membawa 1,400 tan bekalan makanan, perubatan dan bantuan untuk menyokong usaha bantuan di Carikan Gaza.

Bantuan tersebut diselaraskan dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan