Skip to main content

Dunia

Pesawat Lion Air disahkan bermasalah sebelum terhempas

Laporan awal siasatan nahas pesawat Lion Air JT610 yang terhempas pada 29 Okt lalu mengesahkan pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal beberapa hari sebelum berlakunya tragedi yang mengorbankan 189 nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat Lion Air disahkan bermasalah sebelum terhempas

Para anggota keluarga mangsa tragedi Lion Air berkunjung ke tapak di mana pesawat dipercayai terhempas. (Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

Diterbitkan : 29 Nov 2018 07:52AM Dikemas Kini : 29 Nov 2018 07:58AM

JAKARTA: Laporan awal siasatan nahas pesawat Lion Air JT610 yang terhempas pada 29 Okt lalu mengesahkan pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal beberapa hari sebelum berlakunya tragedi yang mengorbankan 189 nyawa.

Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) yang bertanggungjawab menyiasat tragedi itu, mengesahkan masalah teknikal yang dialami termasuk semasa penerbangan dari Bali ke Jakarta, sehari sebelum nahas berlaku.

"Berdasarkan data penyenggaraan pesawat sejak tanggal 26 Oktober, tercatat masalah atau gangguan teknikal bagi pesawat itu. Masalah yang terjadi berkaitan dengan masalah indikator kecepatan dan ketinggian pesawat," kata Ketua Subkomite Investigasi KNKT, Nurcahyo Utomo.

Beliau menambah, pasukan teknikal bagaimanapun mengesahkan pesawat itu selamat untuk berlepas, meskipun ada masalah teknikal pada pesawat yang dijadualkan berlepas dari Bali ke Jakarta itu.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 berkenaan membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal semasa insiden berlaku. Ia dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di perairan Tanjung Karawang, selepas berlepas pada 29 Okt lalu, jam 6.20 pagi dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi (waktu tempatan).

"Sehingga penerbitan laporan awal ini, perakam suara kokpit (CVR) masih belum ditemui, usaha mengesannya masih diteruskan,” kata Encik Nurcahyo.

Siasatan merangkumi beberapa ujian termasuk ujian pengesan AoA (Angle of Attack) dan latihan simulasi pesawat di simulator kejuruteraan Boeing, tambahnya.

“Pasukan siasatan sudah menerima data penerbangan QAR (Quick Access Recorder) untuk dianalisis. Siasatan juga melibatkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dari Amerika Syarikat,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita