Skip to main content

Dunia

Pesawat Lion Air dari Jakarta ke Sumatera terhempas

Agensi mencari dan menyelamat Indonesia mengesahkan pada Isnin (29 Okt) bahawa pesawat Lion Air yang dalam perjalanan dari Jakarta menuju ke bandar Pangkal Pinang di Sumatera, terhempas ke dalam laut. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat Lion Air dari Jakarta ke Sumatera terhempas

Gambar fail pesawat Lion Air. (Gambar: Adek Berry/AFP)

Diterbitkan : 29 Oct 2018 11:25AM Dikemas Kini : 29 Oct 2018 11:40AM

JAKARTA: Agensi mencari dan menyelamat Indonesia mengesahkan pada Isnin (29 Okt) bahawa pesawat Lion Air yang dalam perjalanan dari Jakarta menuju ke bandar Pangkal Pinang di Sumatera, terhempas ke dalam laut.

"Sudah disahkan bahawa ia terhempas," menurut seorang jurucakap agensi, Encik Yusuf Latif, menerusi satu pesanan teks, apabila ditanya mengenai nasib pesawat Lion Air itu.

Dalam satu sidang media, agensi itu menyatakan seramai 189 orang termasuk dua bayi, seorang kanak-kanak dan lapan anak kapal berada di dalam pesawat itu.

Pesawat berkenaan dilaporkan terputus hubungan 13 minit setelah ia berlepas, kata Encik Yusuf kepada Reuters. Tambah beliau, sebuah bot tunda yang sedang meninggalkan pelabuhan di ibu kota Indonesia ternampak pesawat itu terhempas.

Berdasarkan maklumat daripada khidmat Flightradar 24, pesawat terbabit adalah jenis Boeing 737 MAX 8.

Penerbangan JT610 berlepas sekitar 6.20 pagi waktu tempatan (7.20 pagi waktu Singapura) dan dijadualkan mendarat pada 7.20 pagi.

Laman Flightradar yang menjejaki laluan penerbangan pesawat itu menunjukkan ia berpusing ke selatan sejurus berlepas dan kemudian menuju ke utara sebelum hilang di Laut Jawa.

Satu operasi mencari dan menyelamat dilaporkan sudah dikerahkan ke sebuah lokasi dekat Laut Jawa.

"Kami tidak boleh memberikan sebarang komen pada masa ini, kata Encik Edward Sirait, ketua eksekutif Kumpulan Lion Air.

"Kami masih cuba mengumpulkan semua maklumat dan data." 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita