Pesawat ketua EU alami gangguan isyarat GPS, Rusia dipercayai terlibat
Pesawat yang membawa Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, mengalami gangguan isyarat GPS ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Plovdiv di Bulgaria, dalam satu insiden yang disyaki berpunca daripada campur tangan Rusia.
Von der Leyen berada di Bulgaria untuk melawat kilang senjata milik pemerintah. (Gambar: AP)
Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Arianna Podestà mengesahkan bahawa gangguan isyarat berlaku semasa penerbangan von der Leyen ke Bulgaria, salah satu destinasi dalam lawatan beliau ke tujuh negara anggota EU yang bersempadan dengan Rusia dan Belarus.
“Kami dapat mengesahkan bahawa berlaku gangguan GPS, namun pesawat berjaya mendarat dengan selamat,” katanya dalam sidang media di Brussels.
Menurut kenyataan rasmi kerajaan Bulgaria, isyarat satelit yang digunakan untuk sistem navigasi pesawat dimatikan secara tiba-tiba.
Sebagai langkah keselamatan, kawalan trafik udara segera menawarkan kaedah pendaratan alternatif menggunakan sistem navigasi darat yang tidak bergantung kepada GPS.
Pihak berkuasa Bulgaria menyatakan bahawa mereka mengesyaki gangguan tersebut dilakukan oleh Rusia, memandangkan insiden seumpama itu semakin kerap berlaku di rantau Eropah Timur sejak konflik Ukraine bermula pada 2022.
Gangguan dan penipuan isyarat GPS menjadi taktik biasa dalam operasi hibrid Rusia terhadap negara-negara Barat.
Cik Von der Leyen berada di Bulgaria untuk melawat kilang senjata milik kerajaan dan menyatakan sokongan terhadap negara-negara EU yang berdepan ancaman keselamatan dari Rusia.
Suruhanjaya Eropah menegaskan bahawa insiden itu hanya mengukuhkan komitmen EU untuk meningkatkan keupayaan pertahanan dan sokongan kepada Ukraine.
Insiden itu turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan penerbangan awam dan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem navigasi alternatif di rantau yang terdedah kepada gangguan geopolitik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.