Skip to main content

Dunia

Pesawat kargo DHL patah dua semasa mendarat cemas di Costa Rica

Anggaran Waktu Membaca:

SAN JOSE: Sebuah pesawat kargo DHL yang membawa surat dan bungkusan terbabas dari landasan dan terbelah dua ketika melakukan pendaratan cemas di Costa Rica pada Khamis (8 Apr). Kejadian itu menyebabkan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa San Jose.

Kepulan asap keluar dari pesawat Boeing-757 itu dengan bahagian ekornya kelihatan terpisah daripada badan pesawat dan salah satu sayap turut patah.

Gambar dari akhbar tempatan Costa Rica, La Nacion, menunjukkan jentera bomba pantas menyembur buih ke atas pesawat itu.

Dua anak kapal yang berada dalam pesawat berkenaan dalam keadaan "selamat" menurut Ketua bomba Costa Rica, Hector Chaves.

Namun, mereka dihantar ke hospital untuk diperiksa sebagai langkah berjaga-jaga, kata seorang pekerja Palang Merah, Guido Vasquez.

Juruterbang pesawat itu masih trauma namun kedua-dua anak kapal masih sedarkan diri dan "ingat akan kejadian itu dengan jelas," tambah Encik Vasquez.

Kejadian tersebut berlaku sekitar 10.30 pagi selapas pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria di San Jose. Namun, ia terpaksa berpatah balik 25 minit kemudian disebabkan masalah mekanikal.

Anak kapal pesawat itu dilaporkan memaklumkan pihak berkuasa tempatan mengenai kegagalan sistem hidraulik.

Kejadian itu menyebabkan penutupan sementara lapangan terbang negara itu sehingga 3.30 petang, menjejas kira-kira 8,500 penumpang dan 57 penerbangan kargo komersil.

DHL dan pihak berkuasa lapangan terbang sedang bekerjasama untuk mengalihkan pesawat kargo tersebut tanpa menganggu operasi.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita