Skip to main content

Dunia

Pesawat Israel bedil Gaza City selepas Netanyahu arah 'serangan hebat'

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat Israel bedil Gaza City selepas Netanyahu arah 'serangan hebat'

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menghadiri upacara peringatan negara di Gunung Herzl, Baitulmakdis, pada 16 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Alex Kolomoisky)

BAITULMAKDIS/KAHERAHAH: Pesawat-pesawat tentera Israel melancarkan serangan ke atas Gaza City pada Selasa (28 Okt) selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menuduh kumpulan Hamas melanggar gencatan senjata dan mengarahkan tentera untuk menjalankan "serangan hebat".

Serangan Israel menyasarkan kawasan-kawasan berhampiran hospital Shifa, hospital terbesar di utara Gaza, kata para saksi dan media Hamas. Tiada berita mengenai sebarang korban jiwa setakat ini.

Tentera Israel tidak segera mengulas mengenai serangan itu, yang merupakan keganasan terbaharu dalam gencatan senjata selama tiga minggu yang rapuh dan menyusuli kenyataan Pejabat PM Netanyahu yang mengatakan beliau telah mengarahkan serangan tersebut.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberikan sebab khusus atas serangan itu tetapi seorang pegawai tentera Israel mendakwa Hamas telah melanggar perjanjian gencatan senjata dengan melakukan serangan terhadap pasukan Israel di kawasan yang berada di bawah kawalan Israel.

"Ini merupakan satu lagi pelanggaran gencatan senjata secara terang-terangan," kata pegawai itu.

Perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat berkuat kuasa pada 10 Oktober, menghentikan perang selama dua tahun yang dicetuskan oleh serangan maut Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 dan yang telah memusnahkan wilayah tersebut.

Kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh melanggar syarat perjanjian gencatan senjata.

Pada Sabtu lalu, Israel menyatakan bahawa pasukannya melakukan "serangan bersasar" ke atas seseorang di tengah Gaza yang merancang untuk menyerang tentera Israel.
Sumber : Reuters/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita