Pesawat dengan 49 penumpang terhempas di timur jauh Rusia
Sebuah pesawat awam yang membawa 49 orang penumpang terhempas di wilayah timur jauh Rusia, Amur, pada Khamis (24 Jul), menurut pihak berkuasa.
Pesawat Rusia, Antonov-24. (Gambar fail: REUTERS)
Pesawat tersebut, Antonov-24 berenjin kembar yang dikendalikan oleh Angara Airlines, dalam perjalanan dari bandar Blagoveshchensk menuju ke bandar Tynda apabila ia hilang daripada radar, kata Gabenor wilayah, Vassily Orlov, menerusi Telegram.
Sebuah helikopter penyelamat yang dikendalikan oleh pihak berkuasa penerbangan awam Rusia kemudian mengesan bangkai pesawat tersebut yang terbakar di lereng gunung, kira-kira 16 kilometer dari Tynda.
Menurut pasukan penyelamat tempatan, helikopter tersebut tidak melihat sebarang tanda mangsa yang terselamat.
Agensi pertahanan awam wilayah Amur memaklumkan bahawa pasukan penyelamat sudah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setakat ini, seramai 25 anggota dan lima unit jentera sudah dikerahkan, manakala lagi empat pesawat dan anak kapal berada dalam keadaan siap siaga,” katanya.
Menurut agensi berita TASS Rusia, nahas tersebut dipercayai berpunca daripada kesilapan krunya semasa mendarat disebabkan oleh jarak penglihatan yang buruk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.