Pesawat Boeing 737 MAX Air Canada dilencong, lakukan pendaratan cemas gara-gara masalah enjin
Sebuah pesawat Boeing 737-8 MAX milik Air Canada yang sedang melakukan penerbangan dengan tiga anak kapal dari Arizona ke Montreal terpaksa mendarat di Tucson selepas dilaporkan mengalami masalah enjin pada Selasa (22 Dis).

(Gambar: AFP)
MONTREAL: Sebuah pesawat Boeing 737-8 MAX milik Air Canada yang sedang melakukan penerbangan dengan tiga anak kapal dari Arizona ke Montreal terpaksa mendarat di Tucson selepas dilaporkan mengalami masalah enjin pada Selasa (22 Dis).
Menurut syarikat penerbangan itu, penerbangan pesawat berkenaan terpaksa dilencongkan dan ia mendarat di Tucson selepas juruterbang menerima isyarat gangguan pada bahagian enjin.
Menurut kenyataan Air Canada, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), para juruterbang memutuskan untuk mematikan salah satu enjin.
"Pesawat itu kemudian dilencongkan ke Tucson di mana ia mendarat dengan selamat," menurut syarikat itu lagi, tanpa memperincikan kerosakan berkenaan, yang berlaku ketika pesawat itu sedang melakukan penerbangan bukan komersial tanpa penumpang.
Menurut laman Aviation24.be di Belgium yang merupakan pihak pertama melaporkan pendaratan cemas itu, kerosakan itu disebabkan oleh penurunan tekanan hidraulik pada enjin kiri.
Pemerintah Kanada sebelum ini mengumumkan pada pertengahan bulan Disember bahawa pihaknya sudah meluluskan perubahan reka bentuk yang dilakukan Boeing pada pesawat 737 MAX. Perubahan itu dilakukan ekoran dua nahas yang mengorbankan 346 penumpang dan menyusuli kejadian malang itu operasi pesawat tersebut digantung.
Pesawat yang dibeli oleh beberapa syarikat penerbangan Kanada seperti Air Canada, Westjet dan Sunwing bagaimanapun belum diluluskan untuk melakukan penerbangan komersial di ruang udara Kanada.
Pada pertengahan bulan lalu, Amerika Syarikat (AS) membenarkan pesawat MAX kembali beroperasi, namun perlu melakukan beberapa pengubahsuaian sebelum dibenarkan melakukan penerbangan, menurut Jabatan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan.
Dua minggu lalu, syarikat penerbangan Brazil, Gol, menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia yang membenarkan pesawat 737 MAX kembali beroperasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.