Skip to main content

Dunia

Pesawat berangkat dengan cermin tingkap hilang

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat berangkat dengan cermin tingkap hilang

Gambar: Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain

LONDON: Sebuah pesawat dalam perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) terpaksa berpatah balik ke London setelah setengah jam berada di udara berikutan kebimbangan keselamatan selepas cermin tingkapnya didapati rosak dan hilang.

Saluran berita NBC News pada Jumaat (10 Nov) melaporkan, buletin khas mengenai kejadian itu dikeluarkan oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain minggu lalu.

Pesawat dinaiki 11 anak kapal dan sembilan penumpang itu berangkat dari Lapangan Terbang London Stansted dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando, Florida pada Ahad lalu (5 Nov). Sehari sebelum penerbangan tersebut, pesawat itu dipercayai digunakan sebagai set penggambaran.

Menurut buletin itu, beberapa tingkap kabin pesawat jenis Airbus A321 didapati rosak akibat lampu kuasa tinggi yang digunakan semasa penggambaran itu.

Bagaimanapun, kerosakan itu gagal dikesan sehinggalah pesawat berada di ruang udara untuk penerbangan seterusnya.

Selepas berangkat, penumpang melaporkan bahawa kabin pesawat itu lebih sejuk dan bising daripada biasa. Anak kapal pesawat itu juga menyedari bunyi tersebut cukup kuat, seolah-olah mampu merosakkan pendengaran mereka.

Kerosakan tinggkap kabin dikesan oleh anak kapal itu setelah pesawat berada pada ketinggian lebih 10,000 kaki atau 4,419 meter di udara.

Jelas buletin itu, ‘akibat buruk lebih serius’ mungkin berlaku jika ‘ketahanan tingkap hilang pada tekanan yang lebih tinggi’. Juruterbang kemudian mengurangkan kelajuan dan berhenti terbang lebih tinggi.

Setelah memutuskan untuk berpatah balik, pesawat itu mendarat dengan selamat di lapangan terbang London.

Tekanan dalam pesawat dipercayai kekal seperti biasa sepanjang penerbangan selama 36 minit itu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita