Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesawat American Airlines dengan 60 penumpang, 4 anak kapal bertembung dengan helikopter; terhempas di Washington

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat American Airlines dengan 60 penumpang, 4 anak kapal bertembung dengan helikopter; terhempas di Washington

(Gambar: AFP/Andrew Harnik/Getty Images)

Diterbitkan : 30 Jan 2025 01:18PM Dikemas Kini : 30 Jan 2025 01:26PM
WASHINGTON: Sebuah jet penumpang American Airlines dan helikopter Black Hawk Tentera Amerika Syarikat terhempas ke dalam Sungai Potomac selepas bertembung di udara berhampiran Lapangan Terbang Nasional Reagan di Washington pada Rabu malam (29 Jan), menurut para pegawai.

American Airlines mengesahkan bahawa 64 orang berada di dalam jet itu - termasuk 60 penumpang dan empat anak kapal.

Tiga askar berada di dalam helikopter itu, kata seorang pegawai tentera Amerika. Pegawai itu, yang enggan namanya didedahkan, berkata status askar-askar itu tidak diketahui, tetapi menambah bahawa tiada pegawai kanan menaiki helikopter tersebut.

Seorang lagi pegawai berkata helikopter Tentera UH-60 yang terlibat dalam nahas itu berpangkalan di Fort Belvoir, Virginia.

Helikopter Black Hawk itu sedang mengambil bahagian dalam penerbangan latihan, dedah Heather Chairez, jurucakap Pasukan Petugas Bersama-Wilayah Ibu Negara.

The Washington Post, yang memetik sumber, melaporkan beberapa mayat telah ditarik keluar dari sungai tersebut. Tiada mangsa yang terselamat ditemui setakat ini, lapor akhbar itu. Senator Texas Ted Cruz berkata di media sosial bahawa "kami tahu ada kematian," walaupun beliau tidak menyatakan jumlahnya.

Tiada kemalangan pesawat penumpang Amerika yang meragut nyawa sejak Februari 2009, tetapi beberapa siri kejadian yang hampir membawa maut sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menimbulkan kebimbangan yang serius terhadap keselamatan.

NBC melaporkan bahawa empat orang telah ditarik keluar hidup-hidup dari Sungai Potomac.

Petikan kamera laman web Pusat Kennedy di Washington menunjukkan letupan di udara sekitar Potomac pada pukul 8.47 malam dengan sebuah pesawat yang terbakar terhempas dengan pantas.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), jet PSA Airlines bertembung di udara dengan helikopter Sikorsky H-60.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menyatakan bahawa sebuah jet PSA Airlines bertembung di udara dengan helikopter itu ketika dalam perjalanan ke Reagan.

PSA mengendalikan penerbangan 5342 untuk American Airlines, yang telah berlepas dari Wichita, Kansas, menurut FAA.

Menurut polis, beberapa agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat di Sungai Potomac, yang bersempadan dengan lapangan terbang tersebut.

Berpuluh-puluh unit polis, ambulans dan pasukan penyelamat, beberapa bot pengangkut, bergegas ke sungai tersebut untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Lapangan terbang itu menyatakan pada lewat Rabu (29 Jan) bahawa semua keberangkatan dan ketibaan pesawat telah dihentikan, sedang kakitangan kecemasan bertindak balas terhadap insiden tersebut.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional menyatakan bahawa ia sedang mengumpul lebih banyak maklumat mengenai kejadian itu.

American Airlines menyatakan di laman media sosial bahawa ia "sedia makluma mengenai laporan bahawa penerbangan American Eagle 5342, dikendalikan oleh PSA, dengan perkhidmatan dari Wichita, Kansas (ICT) ke Lapangan Terbang Nasional Reagan (DCA) di Washington telah terlibat dalam satu insiden".

American Airlines turut mendedahkan bahawa ia akan memberikan lebih banyak maklumat apabila ia tersedia kepada syarikat itu.

Sepanjang dua tahun lalu, beberapa siri insiden telah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan di Amerika dan mencetuskan tekanan terhadap operasi kawalan lalu lintas udara yang kekurangan kakitangan.

Pentadbir FAA Mike Whitaker meletak jawatan pada 20 Jan dan Pentadbiran Presiden Donald Trump tidak menamakan pengganti - malah mendedahkan siapa yang akan mengendalikan agensi itu secara sementara.

Nahas besar terakhir yang melibatkan pesawat komersial di Amerika adalah pada 2009, apabila 49 orang di dalam pesawat Colgan Air terhempas di New York.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan