Skip to main content

Dunia

Pesawat Air India terpaksa berpatah balik ke Delhi setelah tekanan minyak turun mendadak

Anggaran Waktu Membaca:
Pesawat Air India terpaksa berpatah balik ke Delhi setelah tekanan minyak turun mendadak

Pesawat Air India di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi pada 28 Februari 2023. (Gambar fail: AFP/Sajjad Hussain)

Diterbitkan : 22 Dec 2025 05:31PM Dikemas Kini : 22 Dec 2025 05:32PM
NEW DELHI: Sebuah pesawat Boeing 777 Air India yang dalam penerbangan dari Delhi ke Mumbai terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi selepas juruterbang mengesan penurunan mendadak tekanan minyak pada salah satu enjinnya.

Menurut laporan media tempatan, pesawat dengan nombor penerbangan AI887 itu berlepas pada pukul 3.20 pagi Isnin (22 Dis) dengan membawa sekitar 335 penumpang, menurut laporan Astro AWANI. 

Beberapa minit selepas berlepas, sistem kokpit mengesan tekanan minyak tidak normal pada enjin kanan, memaksa juruterbang mematikan enjin tersebut sebagai langkah keselamatan.

Pesawat itu berada di udara hampir sejam sebelum mendarat semula di Delhi.

Semua penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat, lapor Astro AWANI. 

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam India (DGCA) melancarkan siasatan terhadap insiden tersebut.

Pakar penerbangan menjelaskan penurunan tekanan minyak enjin secara mendadak boleh berpunca daripada kebocoran, kegagalan pam atau penyumbatan sistem pelinciran, yang boleh menyebabkan kerosakan serius jika tidak ditangani segera.

Air India belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu, namun syarikat penerbangan itu dijangka memberikan penjelasan selepas siasatan awal selesai, menurut laporan Astro AWANI. 
Sumber : Agensi berita
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita