Pesawat Air Asia selamat mendarat di KLIA2 selepas enjin terbakar
Penerbangan Air Asia AK128 dalam perjalanan ke Shenzhen, China terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) sejurus berlepas kerana dilaporkan berlaku kebakaran enjin pada sebelah kanan pesawat.
Pesawat Air Asia AK128 yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 akibat kebakaran enjin. (Gambar: JBPM Selangor)
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung pendaratan kecemasan pesawat tersebut pada pukul 10.37 malam, sebelum mengerahkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama sembilan anggota ke lokasi.
Menurut Encik Ahmad Mukhlis, pesawat yang berlepas pada pukul 9.59 malam dan membawa seramai 171 penumpang serta anak kapal, mendarat dengan selamat pada pukul 12.08 tengah malam di KLIA2 dengan api yang telah dipadamkan.
“Pegawai Operasi melaporkan pesawat jenis Airbus A320-216 itu mengalami kerosakan pada Pneumatic Ducting Burst dan api telah dipadamkan oleh sistem Halon dalam pesawat sebelum pesawat mendarat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis (27 Mac).
Encik Ahmad Mukhlis mengatakan bahawa pasukan bomba kemudian bertindak membantu mengeluarkan mangsa daripada pesawat dan memastikan tiada lagi punca api sehingga selesai.
Operasi oleh Balai Bomba dan Penyelamat KLIA itu, turut melibatkan tiga anggota daripada Pasukan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.