Skip to main content

Dunia

Pesantren main peranan penting dalam keputusan pilihan raya di Jawa Timur

Anggaran Waktu Membaca:
Pesantren main peranan penting dalam keputusan pilihan raya di Jawa Timur

Gambar fail sebuah pesantren di Indonesia. (Gambar: AFP/Andi)

Diterbitkan : 01 Feb 2024 08:11PM Dikemas Kini : 01 Feb 2024 08:12PM
INDONESIA: Pesantren-pesantren ternyata memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya Jawa Timur - kawasan yang dianggap sebagai salah satu tumpuan utama dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia.

Sejak pemilihan langsung mula diadakan pada 2004, calon Presiden yang berjaya memperolehi jumlah undi paling banyak di Jawa Timur, akhirnya menjadi Presiden.

Buat masa ini, ada lebih 6,700 pesantren di Jawa Timur dan kebanyakannya ada kaitan dengan Nahdlatul Ulama (NU), iaitu pertubuhan Islam terbesar di Indonesia.

Calon presiden Ganjar Pranowo mahu mendapatkan sokongan NU. Itulah sebabnya beliau memilih Mahfud MD sebagai calon naib presidennya.

Encik Mahfud berasal dari Madura di Jawa Timur dan ada hubungan dengan NU.

Sepanjang tempoh kempen pilihan raya, Encik Mahfud mengunjungi pelbagai pesantren di Jawa Timur untuk melobi sokongan, termasuk menjanjikan insentif lebih AS$250 juta (S$335 juta) untuk guru-guru al-Quran.

"Di pondok pesantren di Nurul Jadid, ketuanya sudah mendukung kami. Secara automatik, cabangnya itu ikut kita semuanya. Bayangkan di Nurul Jadid itu, yang aktif santrinya memang hanya 13,000 tetapi alumninya, 134,000," kongsi Ketua Pasukan Kempen Wilayah (Jawa Timur) Ganjar-Mahfud, Agus Setiadji.

Bagi calon presiden Anies Baswedan, calon naib presidennya, Muhaimin Iskandar, juga berasal dari Jawa Timur.

Encik Muhaimin ialah pengerusi Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) yang sering dianggap sebagai cabang politik tidak rasmi NU.

Pasangan itu mendapat sokongan pesantren Bustanul Ulum Krai di Kabupaten Lumajang di Jawa Timur.

"Kita mulai dari penyertaan masyarakat yang ingin terlibat dalam menyokong Anies-Muhaimin. Apalagi di Jawa Timur, yang asasnya adalah salah satunya pesantren," kata Ketua Pasukan Kempen Wilayah Jawa Timur Anies-Muhaimin, Thoriqul Haq.

Berdasarkan hasil tinjauan terkini, calon presiden Prabowo Subianto dan pasangan naib presidennya Gibran Rakabuming Raka, sedang mendahului persaingan di Jawa Timur.

Bulan lalu, mereka mendapat rangsangan apabila Gabenor Jawa Timur Khofifah Indar Parawansa, yang juga ketua pertubuhan wanita NU, mengisytiharkan sokongannya.

"Salah satu program Pak Prabowo dan Mas Gibran adalah memperjuangkan dana abadi bagi seluruh pondok pesantren di Indonesia. Ini adalah suatu perhatian khusus bagi santri sehingga mereka juga dapat disetarakan dengan sekolah-sekolah negeri mahupun swasta yang ada di kota-kota besar," ujar Ketua Projo (Jawa Timur), Bayu Airlangga.

NU, dengan sekitar 45 juta anggota di Indonesia, mempunyai pangkalan penyokong terbesar di Jawa Timur.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita