Pesantren Indonesia pupuk semangat keusahawanan; santri diajar kemahiran ekonomi
Pesantren-pesantren Indonesia sedang meningkatkan usaha memupuk semangat keusahawanan dan membekalkan para penuntut dengan kemahiran untuk menyumbang kepada ekonomi.
Sebuah Pesantren di Indonesia.
JAKARTA: Pesantren-pesantren di Indonesia digesa memainkan peranan strategik dalam pembangunan ekonomi.
Lantaran itu, pesantren-pesantren Indonesia sedang meningkatkan usaha memupuk semangat keusahawanan dan membekalkan para penuntut dengan kemahiran untuk menyumbang kepada ekonomi.
Dony Ekasaputra, 33 tahun, adalah usahawan online berjaya. Selama 17 tahun, beliau menuntut di sebuah pesantren di Situbondo, Jawa Timur.
Beliau mengimbau kembali bagaimana para santri tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit. Akses kepada Internet juga terhad.
"Kita awal-awal bimbang seperti berhadapan dengan dunia lain. Tetapi sesulit apa pun dunia digital, itu pasti ada ilmunya," kata Encik Dony yang juga pemilik Adeeva Group.
"Kita di pesantren diajarkan dua hal yang paling prinsip. Pertama, kita diajarkan untuk menjadi seorang pembelajar. Yang kedua, kita dididik untuk berdikari dengan segala keterbatasan, jauh dari orang tua, jauh dari keluarga, jauh dari kemudahan mewah. Jadi, itu membentuk karakter kita sebagai pejuang."
Pesantren Nurul Iman di Bogor, Jawa Barat, bertekad untuk memupuk usahawan milenial. Ia menyediakan pendidikan percuma berdasarkan model perusahaan sosial.
Pesantren itu ada 59 unit perniagaan seperti kilang beras dan ladang cendawan yang menjana hasil pendapatan untuk membiayai 15,000 santri.
Selain pendidikan agama, para pelajar diajar bahasa asing seperti Jepun dan Inggeris.
Di Pesantren Nurul Iman kendalian Umi Waheeda Abdurrahman, anak kelahiran Singapura, beliau menegaskan peri pentingnya para pelajar untuk berdikari dari segi kewangan.
"Apabila semua pelajar saya menamatkan pengajian di sekolah ini, saya sudah menjadikan mereka ahli perniagaan. Saya memberikan mereka produk, kami mempunyai banyak produk. Saya memberikan mereka sebagai modal, mereka menjual produk-produk saya di merata Indonesia kerana agama ini tidak boleh hanya bergantung kepada pekerjaan sebagai guru atau pendakwah. Mereka mesti menjadi ahli perniagaan," ujar Cik Umi Waheed, Pengetua Pesantran Nurul Iman.
Pemerintah juga menyokong usaha pesantren untuk berinovasi dan melahirkan usahawan sosial.
"Orang-orang Pesantren itu juga perlu memiliki keterampilan untuk bekal hidupnya. Ke depan, dengan jumlah santri yang hari ini kurang lebih lima juta, santri ini berpotensi untuk menyumbang kepada negara. Sehingga negara itu punya kewajipan untuk memudahkannya. Jangan sampai lima juta santri itu menjadi beban negara," kata H Waryono, Pengarah Pendidikan Awal dan Pesantren, Kementerian Ehwal Agama Indonesia.
Bagi para santri di Nurul Iman, kemahiran yang dipelajari akan menjadi bekalan untuk mencapai kejayaan di dunia selain mengejar kemenangan di akhirat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.