Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pesakit sembuh varian Omicron boleh dijangkiti semula versi baru virus

Anggaran Waktu Membaca:
Pesakit sembuh varian Omicron boleh dijangkiti semula versi baru virus

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 18 Jun 2022 12:25PM Dikemas Kini : 18 Jun 2022 12:26PM
NEW YORK: Pesakit yang pernah disahkan positif COVID-19 varian versi awal Omicron, mungkin terdedah untuk dijangkiti sekali lagi versi baru varian itu biarpun sudah menerima vaksin dan suntikan dos penggalak, lapor Reuters.

Penyelidik dari China melaporkan pada Jumaat (17 Jun), pesakit Omicron BA.1 yang sudah mendapatkan vaksinasi menghasilkan antibodi yang mampu meneutralkan virus COVID-19 asal. Bagaimanapun sub varian Omicron yang merebak ketika ini bermutasi dan membolehkan virus mengelak daripada antibodi tersebut.

Omicron BA.2.12.1, yang ketika ini menyebabkan banyak jangkitan di Amerika Syarikat (AS) dan Omicron BA.5 serta BA.4 yang kini menyebabkan lebih 21 peratus jangkitan baru di AS mengandungi mutasi yang tidak terdapat dalam versi BA.1 dan BA.2 varian Omicron.

"Sub varian baru itu berupaya mengelak daripada antibodi yang terhasil daripada jangkitan SARS-CoV-2 dan vaksinasi COVID-19," kata penyelidik dalam hasil uji kaji yang dijalankan.

Kajian itu juga mendapati, ubat antibodi monoklonal bebtelovimab daripada Eli Lily dan cilgavimab iaitu komponen Evusheld AstraZeneca, didapati masih mampu meneutralkan BA.2.12.1 dan BA.4/BA.5 dengan berkesan.

Bagaimanapun, dos penggalak berdasarkan virus BA.1, seperti yang sedang dibangunkan oleh Pfizer/BioNTech dan Moderna "mungkin tidak mencapai perlindungan spektrum meluas terhadap varian baru Omicron," kata penyelidik.

Menurut Dr Onyema Ogbuagu, penyelidik penyakit berjangkit di Sekolah Perubatan Yale, New Haven, Connecticut, kajian sebelum ini mencadangkan individu dijangkiti Omicron dan tidak pernah menerima vaksinasi berkemungkinan gagal mempunyai tindak balas imunisasi yang boleh melindungi mereka daripada dijangkiti varian lain.

"Pandangan peribadi saya ialah walaupun terdapat beberapa kelebihan untuk menghasilkan vaksin khusus untuk Omicron, saya rasa manfaatnya hanya sedikit berbanding vaksin dan dos penggalak yang ada sekarang yang masih mampu melindungi daripada dijangkiti penyakit serius," kata beliau.

"Jika anda dijadualkan mendapatkan dos penggalak, dapatkannya dengan segera. Apa yang kita pelajari secara klinikal ialah amat penting untuk kita sentiasa mendapatkan vaksin terkini bagi mengekalkan kadar antibodi COVID-19 yang tinggi dalam darah kita."
Sumber : Agensi berita/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan