Peruntukan JASA hangat dibahaskan di Parlimen M'sia
Antara isu yang hangat dibahaskan berhubung Belanjawan 2021 bagi Malaysia adalah peruntukan RM85.5 juta (S$27.9 juta).
(Gambar: Bernama)
SINGAPURA: Antara isu yang hangat dibahaskan berhubung Belanjawan 2021 bagi Malaysia adalah peruntukan RM85.5 juta (S$27.9 juta) untuk mewujudkan cabang perhubungan awam kerajaan iaitu Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).
Jabatan di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu ditugaskan untuk menguruskan komunikasi kerajaan dan menyebarkan maklumat kepada orang ramai.
Menurut laman Kementerian Kewangan Malaysia, matlamat JASA adalah untuk membangunkan masyarakat di peringkat akar umbi melalui komunikasi antara kerajaan dengan rakyat.
Sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu, kerajaan mengusulkan dua peruntukan untuk JASA: RM4 juta ($1.3 juta) di bawah belanjawan komunikasi strategik dan tambahan RM81.5 juta ($26.6 juta) yang diperuntukkan bagi dasar-dasar baru kerajaan.
Keputusan untuk menghidupkan semula jabatan itu bagaimanapun menerima kritikan ramai Ahli Parlimen (AP) semasa membahaskan belanjawan tersebut.
Pihak pembangkang pula menyifatkan JASA sebagai alat propaganda kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyebarkan mesej politik.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad membubarkan jabatan itu pada 2018.
Para pemerhati menarik perhatian bahawa berdasarkan sejarah, JASA digunakan sebagai sebuah agensi untuk menyebarkan maklumat bagi pihak kerajaan.
Barisan Nasional (BN) semasa memerintah Malaysia sebelum PH mengambil alih kuasa pada 2018 menggunakan JASA untuk menyebarkan "mesej pro-kerajaan" dan "menggambarkan pembangkang dalam keadaan negatif", kata pakar politik Universiti Utara Malaysia Profesor Madya Ahmad Martadha Mohamed.
JASA dikritik oleh pihak pembangkang termasuk para pemimpin utama PH seperti Encik Anwar Ibrahim dan Encik Lim Guan Eng.
Encik Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan peruntukan bagi JASA bersama dengan satu lagi peruntukan bagi Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan sebagai "zalim".
"Ketika rakyat sedang tertekan, agak zalim untuk anda mengambil wang, RM85.5 juta ($27.9 juta) dan lagi RM8.6 juta ($2.8 juta) untuk (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan)," kata Encik Anwar semasa membahaskan Belanjawan 2021 di parlimen pada Isnin lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.