Perubahan iklim mungkin cetus runtuhan glasier di Nepal: Saintis
Perubahan iklim berkemungkinan besar menyumbang kepada runtuhan glasier yang membawa bencana dan membanjiri beberapa kawasan di Nepal dan Tibet pada lewat Ogos, mengorbankan sekitar 1,400 orang manakala beribu-ribu lagi masih hilang, kata para saintis pada Khamis (17 Sep).
Rumah-rumah dilitupi lumpur selepas banjir kilat di sepanjang Sungai Trishuli di Devighat, daerah Nuwakot, Nepal, pada 29 Ogos 2026. (Gambar: AP/Rajesh Kumar Singh)
Menurut kumpulan penyelidik World Weather Attribution (WWA), suhu yang meningkat pantas di rantau itu menyebabkan glasier semakin menipis, selain mencairkan ais dan permafros dalam batuan dasar Himalaya.
Walaupun sukar untuk menentukan sejauh mana perubahan iklim menyumbang kepada runtuhan kira-kira dua kilometer persegi dinding batu dan ais glasier di Gunung Langtang Lirung bulan lalu, para penyelidik berkata suhu yang semakin meningkat mewujudkan keadaan yang meningkatkan risiko kejadian itu berlaku.
"Tiada keraguan bahawa perubahan iklim akibat kegiatan manusia memainkan peranan dalam mewujudkan keadaan yang membawa kepada bencana ini, menerusi pencairan permafros, penipisan glasier dan lebih banyak hujan berbanding salji," kata pakar klimatologi Imperial College London, Cik Friederike Otto.
WWA menggunakan kaedah yang disemak oleh pakar untuk menilai peranan pemanasan global dalam kejadian cuaca ekstrem, menurut laman web kumpulan itu.
Kajian itu mendapati purata suhu di rantau Himalaya pada Ogos sekitar 5 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa, dengan kira-kira 1.5 darjah Celsius daripada peningkatan tersebut dikaitkan dengan perubahan iklim.
Salji yang turun jauh lebih banyak daripada biasa pada Oktober dan November tahun lalu turut menghasilkan lebih banyak air cair apabila suhu meningkat, yang mungkin menjadi antara faktor mencetuskan runtuhan glasier itu, menurut kajian tersebut.
Glasier di rantau tersebut menipis sekitar setengah meter setahun sejak 2000, sekali gus mengubah tekanan terhadap struktur batuan.
Pencairan permafros juga berkemungkinan melemahkan dinding batu, menurut kajian tersebut.
Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda gunung sama pada 2015 mungkin turut memainkan peranan dengan melemahkan batuan dasar, namun kesannya masih belum jelas.
"Kami menyimpulkan bahawa cerun ini sememangnya terdedah dari segi geologi dan mungkin sudah dilemahkan oleh gempa bumi 2015. Namun, ia menjadi semakin tidak stabil akibat pencairan glasier dan permafros, selain air cair yang berlebihan serta suhu luar biasa tinggi pada tempoh terakhir sebelum runtuhan," kata pakar hidrologi pergunungan dari Universiti Utrecht, Encik Walter Immerzeel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.