Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pertumbuhan ekonomi M'sia terbaik di Asia Tenggara, kata PM Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 8.9 peratus untuk suku kedua tahun ini adalah yang terbaik di Asia Tenggara sekali gus membuktikan kerajaan tidak gagal seperti didakwa pembangkang, kata Perdana Menteri negara itu, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pertumbuhan positif itu disumbang keputusan kerajaan untuk membuka semula semua sektor ekonomi dan sempadan negara yang berjaya mengembalikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Sejak mengambil alih kepimpinan, pengangguran jatuh daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus yang hampir menyamai paras sebelum pandemik.

“Pelaburan langsung asing (FDI) mencapai rekod paras tertinggi pada suku keempat 2021 dengan mencatatkan sebanyak RM26.7 bilion (S$8.2 bilion) disusuli dengan RM23.3 bilion (S$7.1 bilion) pada suku pertama 2022,” katanya pada sesi Bicara Hati Perdana Menteri sewaktu Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia, di Kuala Lumpur pada Ahad (14 Ogos).

Perdana Menteri Malaysia itu berkata pengumuman terbaru kemasukan FDI pada suku kedua 2022 sebanyak RM24.1 bilion (S$7.4 bilion) menjadikan kemasukan FDI untuk tempoh sembilan bulan berjumlah RM74.1 bilion (S$22.8 bilion), mengatasi jumlah FDI pada 2021, 2020, 2019 dan 2018.

“Jadi janganlah kita termakan dengan dakwaan bahawa syarikat asing tdak ingin melabur di negara kita,” katanya.

Encik Ismail Sabri berkata dalam pertemuan bersama peneraju industri ketika mengadakan lawatan ke luar negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat, beliau dimaklumkan mereka masih berminat untuk melabur di Malaysia.

Selain itu, menurutnya data juga menunjukkan nilai jualan borong dan runcit mencatat prestasi terbaik sejak 2013 iaitu RM132 bilion (S$ 40.7 bilion) untuk Jun 2022 manakala nilai jualan sektor pembuatan pula melonjak 23.4 peratus kepada RM153.5 bilion (S$47.3 bilion) untuk tempoh sama.

“Saya perlu terangkan ini untuk nafikan tohmahan daripada pembangkang yang ingin adakan demonstrasi dengan alasan kerajaan gagal walaupun sebenarnya kita berjaya mencapai apa yang kita rancangkan selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Ismail Sabri berkata intervensi kerajaan, antaranya menerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, berjaya mengawal dan menurunkan harga barang seperti ayam dan minyak masak di pasaran.

Beliau berkata walaupun menjangkakan keadaan yang semakin mencabar disumbang faktor inflasi dunia, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang keputusan drastik demi memastikan kesan inflasi berada di tahap minimum demi kepentingan rakyat.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan