Skip to main content

Dunia

Pertumbuhan ekonomi ASEAN diunjur naik kepada 4.3% pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Pertumbuhan ekonomi ASEAN diunjur naik kepada 4.3% pada 2023

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 06 May 2023 11:32AM
JAKARTA: Indonesia selaku pengerusi semasa ASEAN, mensasarkan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi blok itu kepada 4.3 peratus tahun ini.

"Pada 2021, pertumbuhan mencatatkan kadar 3.98 peratus manakala kadar pertumbuhan global 2.6 peratus, yang menunjukkan daya tahan ekonomi ASEAN terhadap kejutan," lapor agensi berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Pengarah Kerjasama Ekonomi ASEAN di Kementerian Luar, Berlianto Situngkir.

Menurut Encik Berlianto, ASEAN kini merupakan kuasa ekonomi kelima dalam kalangan negara maju, dengan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP)AS$3.3 trilion (S$4.4 trilion) dan jumlah penduduk lebih 650 juta, meletakkannya di tempat ketiga selepas China dan India, lapor Astro Awani.

Encik Berlianto menekankan ASEAN memerlukan empat elemen utama untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Elemen tersebut adalah rangka kerja kesihatan yang kukuh, keterjaminan makanan, keupayaan untuk bergerak pantas dan cepat ke arah peralihan ekonomi serta tenaga bersih dan boleh diperbaharui serta kestabilan kewangan di rantau itu untuk menangani sebarang kejutan luaran.

"Untuk menyokong tema 'Epicentrum of Growth', ASEAN perlu mengukuhkan kehadirannya dalam mewujudkan kestabilan dan keamanan di rantau ini, bukan sahaja di ASEAN malah di rantau Indo-Pasifik," katanya, seperti dipetik laporan Astro Awani.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno, berkata bahawa negara anggota akan membincangkan langkah menggalakkan ekonomi, penjagaan kesihatan, membangunkan ekosistem kenderaan elektrik selain penyelesaian ketersambungan kewangan di rantau ini.

Sidang Puncak ASEAN ke-42 dijadual berlangsung di Labuan Bajo, Nusa Tenggara, Indonesia dari 9 hingga 11 Mei.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita